Al-Quran

Saturday, December 24, 2016

Penghulu Luak Jempol Ke 11

Mato bonih To’ Mayam Penghulu Luak Jempol Ke 11

November 30, 2016
Oleh : Hamidah binti Md Drus
JEMPOL, 28 Nov (Malaysiaaktif) – Mato bonih To’ Mayam diisytihar jawatan Ke Bawah Kaus Datuk Penghulu Luak Jempol Ke 11 selepas undian oleh Datuk – Datuk Lembaga, dengan gelaran Datuk Lela Putra Setiawan di Balai Pemangku Penghulu Luak Jempol pada 9.00 pagi tadi.
Pengisytiharan dan Adat Istiadat Perlantikan ini dibuat setelah penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Penghulu Datuk Haji Mohd Hashim bin Abdullah yang telah meninggal dunia pada tahun 2015. Kali terakhir warga Jempol menyaksikan adat istiadat ini ialah 32 tahun yang lalu.
Menurut Datuk (Lembaga Lantikan) Luak Jempol, merupakan salah satu luak dalam Gagasan Luak Tanah Mengandung yang meliputi Luak Ulu Muar, Terachi, Gunung Pasir dan Inas, Datuk Dagang Mohd Salleh bin Haji Atan, Penghulu Luak Jempol yang pertama adalah Dato’ Daim anak Patam yang dijemput dari Pasir Besar. Perlantikan penyandang Pusaka Luak Jempol kali ini merupakan yang kesebelas keturunan dari tiga moyang iaitu To’ Tarom, To’ Mayam dan To’ Ngai Uban.
Datuk Lela Putra Setiawan Abdul Hafit Anuar bin Abu Bakar berkata, beliau merupakan waris dari ‘perut’ To’ Mayam. Beliau melahirkan rasa gembira dan bangga kerana telah diberi kepercayaan untuk memimpin dan memelihara adat perpatih di daerah Jempol dan beliau berharap agar adat perpatih terus diamalkan kerana adat perpatih bersendikan syarak.
Mengikut adat perpatih, selepas 100 hari diumumkan kekosongan jawatan Datuk Penghulu, Tok-tok Lembaga perlu memilih ‘mato bonih’ iaitu waris dari ‘perut’ yang layak untuk dilantik menyandang jawatan Datuk Penghulu Luak Jempol. Jawatan ini telah dipangku sementara oleh Datuk Lela Raja Haji Alias bin Abdul Karim.
Istiadat dimulakan dengan bakal Datuk Penghulu Luak Jempol dimandikan dan dibedak di rumah telapak yang terletak di Kuala Jempol. Kemudian beliau dibawa ke Taman Kepayang untuk diarak dan diiringi oleh Datuk – Datuk adat yang membawa alat-alat kebesaran Datuk Penghulu Luak Jempol.

Setelah bakal Datuk Penghulu Luak naik ke dalam balai, maka bermulalah adat istiadat pengisytiharan. Sebaik sahaja lafaz ikrar taat setia dibaca oleh bakal Datuk Penghulu Luak maka rasmilah Abdul Hafit Anuar bin Abu Bakar menjadi Datuk Penghulu Luak Jempol yang baru.
Sebanyak 8 das tembakan telah dilepaskan sejurus istiadat tersebut bagi menandakan pelantikan Datuk Penghulu Luak.
Turut hadir Raja Nazrilhisham bin Raja Shahminan, wakil Istana Seri Menanti, Datuk Shamsulkahar bin Mohd Deli selaku wakil Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jempol, Jelebu dan Kuala Pilah serta ketua-ketua jabatan.

– MRRlink
⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔⇔

Kejadian Penghulu Luak Jempol ke-11 Disempurnakan Penuh Adat Istiadat

muhammadasyrafazlan@gmail.com

SERI MENANTI, 11 DIS – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menerima Kezahiran Kejadian Penghulu Luak Jempol Ke-11bersaksikan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, DYMM Tunku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud yang berlangsung di Istana Seri Menanti, hari ini.

Tuan Haji Abdul Hafit Anuar bin Abu Bakar telah dilantik sebagai Penghulu Luak Jempol ke-11menggantikan Penghulu Luak Jempol ke-10 yang telah kembali ke Rahmatullah.
Pelantikan dan pengisytiharan beliau pada 23 November 2016 sebagai Penghulu Luak Jempol yang baharu di Balai Pemangku Luak Johol telah membawa gelaran Yang Mulia (YM) Dato’ Lela Putra Setiawan.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan bersama isteri YM Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Haji Mat Ali Hassan serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

No comments: