Al-Quran

Thursday, December 27, 2018

Pengumuman Undang Luak Jelebu ke-16 tidak diiktiraf

Tak tau bahaso ko apo ni, sampai tigo kali umum orang yang samo jadi undang. Pobilangan dah ado ngobakan "koroh di hulu solosaikan kek hulu,koroh di hilir solosaikan di hilir." Ini tak, koroh di hulu nak solosaikan di hilir sampai bilo pun takkan joroneh. 
Lombago lapan carilah titik pertemuan jangan sesekali menderhakai muafakat, perjanjian dan sumpah nenek monyang dan orang-orang tuo dulu. Jawatan ini hanyo di dunio kalau bolom sampai giliran porut awak tak usah diperebotkan.
**********************************************************************************
Pengumuman Undang Luak Jelebu ke-16 tidak diiktiraf
Oleh Ifwan Tun Tuah
Khamis, 27 Disember 2018 
SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan tidak mengiktiraf pengumuman seorang pesara guru sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Kemin di Jelebu, 20 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, Dr Razali Ab Malik, berkata dewan berkenaan menganggap pelantikan Maarof Mat Rashad, 63, sebagai tidak sah kerana tidak mengikut syarat yang sepatutnya.


“Mesyuarat dewan ini yang bersidang Oktober lalu bagi membincangkan konflik dalam majlis pengisytiharan dan pemasyhuran Undang Luak Jelebu ke-16 memutuskan untuk memulangkan semula urusan pemilihan kepada luak berkenaan.
“Dewan Keadilan dan Undang menyerahkan kepada ketua adat di Jelebu untuk memilih Undang, namun mereka perlu memulakan semula proses mencari mata benih calon penyandang pesaka Undang Luak Jelebu mengikut aturan adat di luak berkenaan.
“Bagaimanapun, semua ketua adat perlu menyelesaikan sebarang masalah di antara mereka terlebih dulu bagi membolehkan pemilihan dijalankan dengan lancar,” katanya yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri ketika dihubungi hari ini.
Pada 20 Disember lalu, Dato’ Lembaga Luak Jelebu, Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ismail Mohd Zain mengumumkan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu yang didakwa dibuat mengikut Kanun Adat Luak Jelebu, bagi menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Abdul Wahab, yang meninggal dunia pada 11 September 2014.
Ismail mendakwa pengumuman itu dibuat mengikut Kanun Adat Luak Jelebu dan dihadiri semua Dato’ Lembaga Delapan kecuali Dato’ Mengiang Merah Bangsa.
Maarof sebelum ini sudah dua kali diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 iaitu pada Jun tahun ini dan tahun lalu, namun tidak mendapat pengiktirafan Dewan Keadilan dan Undang serta kerajaan negeri.
Selain beliau, seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun juga pernah diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 pada April 2016, namun turut tidak diiktiraf.
Mengulas lanjut, Dr Razali berkata, pihaknya tidak dapat membuat jangkaan masa kemelut itu akan berakhir kerana urusan pemilihan dilakukan oleh ketua adat di luak terbabit, namun Dewan Keadilan dan Undang akan mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa.

Tuesday, December 25, 2018

Pengertian Dan Senarai Luak-Luak Dalam Negeri Sembilan

By Ameer Khan - 26 April 2017

Luhak atau sering disebut sebagai Luak adalah jajahan sesuatu pentadbiran. Luak bertaraf dan bertindak sebagai sebuah negeri dengan diterajui oleh Undang dan Penghulu Luak. Luak berhak menentukan pentadbirannya sendiri dan berhak menentukan samada ingin bersendirian atau bernaung dengan negeri-negeri yang mempunyai Sultan. 


Negeri Sembilan pada asasnya ditubuhkan dengan gabungan sembilan Luak/Negeri utama. Ini tidak bermakna hanya ada sembilan luak sahaja yang ada di dalam komposisinya. Terdapat juga luak-luak kecil yang menjadi serambi kepada luak-luak utama. Komposisi ini juga berubah-rubah mengikut sejarah sebelum ianya menjadi tetap selepas merdeka.

Suatu ketika dulu beberapa luak seperti Kelang (Selangor), Segamat (Johor), Naning (Melaka) dan beberapa kawasan di Negeri Pahang termasuk dalam Negri Sembilan. Oleh kerana beberapa sebab, luak-luak ini beralih arah ke dalam negeri-negeri seperti yang tersebut dalam kurungan. 

Terdapat beberapa versi penulis-penulis dan penyelidik sejarah berkenaan dengan luak-luak asal di Negeri Sembilan. Antaranya seperti:



Yang di-Pertuan Besar bersemayam di Sri Menanti. Luak yang mengelilingi Sri Menanti ialah Ulu Muar, Jempol, Terachi, Inas dan Gunong Pasir yang dikenali sebagai Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung membawa pengertian tanah ibunda yang selaras membawa konotasi kawasan tempat bersemayamnya Yang di-Pertuan Besar. Pemimpin adat di Luak Tanah Mengandung ini disebut sebagai Penghulu yang berada di bawah naungan Yang di-Pertuan Besar Seri Menanti.

Walaubagaimanapun, Yang di-Pertuan Besar bukanlah merupakan ketua Luak Tanah Mengandung sungguhpun Sri Menanti dalam Luak Ulu Muar. Penghulu-penghulu di luak-luak inilah yang bertanggungjawab menjaga baginda. Mereka mengaku taat setia dengan mengadap baginda. Paling bertanggungjawab sekali ialah Penghulu Ulu Muar kerana sekiranya Yang di-Pertuan Besar mangkat, adalah menjadi tugas Luak Ulu Muar untuk membawa berita itu kepada Undang Yang Empat.

Yang mengelilingi di sebelah luar pula merupakan empat luak utama yang dikenali sebagai Luak Berundang atau Undang Yang Empat.

1.Sungai Ujong  2.Jelebu  3.Johol  4.Rembau

Gelaran Undang Yang Empat ini terdiri daripada Datuk Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujong; Datuk Lela Maharaja, Undang Luak Rembau; Datuk Mendika Menteri Akhirul Zaman, Undang Luak Jelebu; Datuk Johan Lela Perkasa Sitiawan, Undang Luak Johol.

Keempat-empatnya luak utama ini ada persangkutannya dengan empat buah luak Tanah Mengandung ini. Luak Tanah Mengandung merupakan serambi bagi luak yang empat tersebut. Serambi yang dimaksudkan ialah tempat persinggahan bagi Datuk Undang sebelum ke Seri Menanti;

1.Serambi Sungai Ujong ialah Terachi 
2.Serambi Jelebu ialah Jempol 
3.Serambi Johol ialah Ulu Muar 
4.Serambi Rembau ialah Gunong Pasir.

Tiga luak yang lain iaitu Gemencheh, Ayer Kuning dan Linggi dikategorikan sebagai Luak Adat. Walaubagaimanapun, luak Inas (Walaupun dikategorikan dalam Luak Tanah Mengandung), Gemencheh, Ayer Kuning dan Linggi bersama-sama Luak Tampin tidak dikira dalam pola ideal terutama dalam menentukan Yang di-Pertuan Besar.

Berdasarkan giliran mengadap waktu upacara pertabalan Yang di-Pertuan Besar, hiraki luak itu adalah seperti berikut:

Di antara empat luak yang utama, Undang Sungai Ujong diberi tanggungjawab untuk menjadi jurubicara bagi Undang yang tiga lagi. Beliaulah yang akan merasmikan perlantikan Yang di-Pertuan Besar yang baru.
Negeri Sembilan sekarang dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu yang mengamalkan Adat Perpatih dan yang tidak mengamalkan Adat Perpatih. Kebanyakan bahagian yang tidak mengamalkan Adat Perpatih ini samada mengamalkan Adat Temenggung (Ketumangungan), mengamalkan cebisan adat yang bercampur-aduk atau tidak mempraktikkan sebarang adat. 

Bahagian yang tidak mengamalkan adat pepatih terdiri daripada sebahagian besar daerah Port Dickson, iaitu meliputi kawasan Linggi, Lukut dan kawasan pingir pantai Selat Melaka. Wilayah Negeri Sembilan yang mengamalkan adat pula terdiri daripada daerah Seremban, Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

 Di samping perbezaan sistem adat di sebahagian besar daerah Port Dickson dan daerah-daerah lain di Negeri Sembilan, terdapat juga kelainan sistem adat dalam kalangan luak tradisi Adat Perpatih. Berdasarkan sistem politik tradisi wilayah adat perpatih, Negeri Sembilan kini dapat dibahagikan kepada empat, iaitu:

1.Wilayah Luak Berundang 
2.Wilayah Luak Tanah Mengandung 
3.Wilayah Luak Tampin 
4.Wilayah Luak Beradat

Sebelum dijajah Inggeris, luak-luak ini bertaraf negeri dan mempunyai kuasa mutlak dengan Undang dan Penghulu menjadi pemimpin. 


CATATAN LAIN Dengan persetujuan DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Al-Marhum Tuanku Jaafar ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman dan Datuk Undang Luak Johol, telah dibentuk sebuah luak yang termasuk di dalam lingkungan Undang Luak Johol dinamakan Luak Kecil Pasir Besar. Telah diisytiharkan penubuhannya pada 18hb Oktober 1987. Luak ini diketuai oleh seorang penghulu bergelar Datuk Penghulu Luak Kecil Pasir Besar dan dibantu oleh Datuk Muda Penghulu Pesaka.

Oleh kerana waris penduduk asal Pasir Besar yang layak menyandang pesaka Penghulu Luak itu dianggap tidak mempunyai suku tertentu maka sejak tertubuhnya Luak Pasir Besar ini waris penduduk asal itu telah dikurniakan gelaran Suku Raja Berketurunan Kurnia Raja.

Pentadbiran adat di Luak Kecil ini tidak sepenuhnya mengikut adat Perpatih. Mereka tidak mempunyai tanah pusaka adat dan anak buahnya tidak ada halangan untuk berkahwin sama sewaris. Sumber – smdkp-bng.blogspot.my; ujanglobek.blogspot.my


Sunday, December 23, 2018

Sistem Sosial Adat Perpatih Di Negeri Sembilan

Artikel ini saya copy dari The Patriots dan sangat membantu memahami apa yang sisebutkan. Terima kasih kepada penulis artikel ini kerana serba sedikit mendorong kita mencintai adat perpatih di negeri sembilan.

Ayuh kita kenali sistem sosial yang diamalkan dalam Adat Perpatih. Artikel kali ini disunting bagi memudahkan faham dari sumber rujukan asal, iaitu blog orangnogori.com .Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang. Masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan terbahagi kepada tiga peringkat kumpulan utama iaitu Luak, Suku dan Perut.


Istana Seri Menanti yang berada di tengah-tengah Negeri Sembilan dikelilingi oleh Luak-Luak yang lain.

Yamtuan Besar atau Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah Ketua bagi Kerajaan Negeri Sembilan. Negeri Sembilan mendapat nama kerana suatu ketika dahulu ianya terdiri dari 9 buah Luak utama. Istana Seri Menanti iaitu pusat pemerintahan Yamtuan Besar Negeri Sembilan terletak di tengah-tengah sembilan luak ini. 9 buah Luak tersebut adalah :-
1) Jelai
2) Sungai Hujung
3) Jelebu
4) Johol
5) Rembau
6) Naning (kini sebahagian Melaka)
7) Kelang (kini sebahagian Selangor)
8- Segamat (kini sebahagian Johor)
9) Hulu Pahang (kini sebahagian Pahang)


Peta Wilayah Adat pada zaman dahulu yang menunjukkan 9 buah Luak membentuk Negeri Sembilan
Ilustrasi yang lebih mudah difahami

Luak atau Luhak berhak menentukan pentadbirannya sendiri dan berhak menentukan sama ada ingin bersendirian atau bernaung dengan negeri-negeri yang mempunyai Sultan. Luak-luak ini berubah mengikut sejarah sebelum ia menjadi tetap selepas merdeka.
Setelah masa berlalu, Luak Naning, Kelang, Segamat, Hulu Pahang kini bernaung di bawah kesultanan negeri lain. Kini di Negeri Sembilan, wujud 13 luak yang terbahagi kepada 4 jenis iaitu Luak Berundang, Luak Tanah Mengandung, Luak Beradat dan Luak Tampin.
– LUAK BERUNDANG diketuai oleh Undang. Senarai Luak Berundang adalah :
1) Sungai Hujung
2) Jelebu
3) Johol
4) Rembau
– LUAK TANAH MENGANDUNG diketuai oleh Penghulu. Luak Tanah mengandung adalah Serambi bagi Luak Berundang. Ianya dipanggil Serambi kerana luak-luak ini terletak di antara Seri Menanti dan Luak Berundang. Senarai Luak Tanah Mengandung adalah :
5) Inas (dahulunya Jelai)
6) Terachi Serambi Sungai Hujung
7) Jempol Serambi Jelebu
8 ) Hulu Muar Serambi Johol
9) Gunung Pasir Serambi Rembau
– LUAK BERADAT diketuai oleh Penghulu Luak. Senarai Luak Beradat adalah :
10) Gemencheh
11) Ayer Kuning
12) Linggi
– LUAK TAMPIN yang diketuai oleh Tengku Besar seolah-olah berdiri dengan sendirinya walaupun bernaung di bawah Negeri Sembilan. Hanya ada satu luak sahaja iaitu :
13) Tampin


Peta Wilayah Adat kini menunjukkan 13 buah Luak setelah zaman Kemerdekaan.
Ilustrasi yang lebih mudah difahami

Ketiga-tiga Luak Beradat iaitu Gemencheh, Ayer Kuning dan Linggi bersama Luak Inas (salah sebuah Luak Tanah Mengandung) serta Luak Tampin tidak dikira untuk menentukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Penghulu-Penghulu di Luak Tanah Mengandung pula bertanggungjawab menjaga Yang Di-Pertuan Besar. Paling bertanggungjawab sekali ialah Penghulu Ulu Muar kerana sekiranya Yang di-Pertuan Besar mangkat, adalah menjadi tugas Penghulu Luak Ulu Muar untuk membawa berita itu kepada Undang Yang Empat.
Perlantikan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak Berempat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu yang akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang Di-Pertuan Besar.
Di antara empat luak yang utama ini, Undang Sungai Ujong diberi tanggungjawab untuk menjadi jurubicara bagi tiga Undang yang lain. Beliaulah yang akan merasmikan perlantikan Yang di-Pertuan Besar yang baharu. 4 Undang ini dipilih kerana Luak mereka sahajalah yang kekal sejak awal penubuhan Negeri Sembilan dahulu.


Bendera Kerajaan Pagar Ruyung Darul Qarar (1347-1825) milik Raja-Raja Minangkabau di Sumatera Barat

Setiap Undang yang mengetuai 4 buah luak ini dilantik oleh Dato’-Dato’ Lembaga. Lembaga adalah ketua-ketua Suku. Dalam konteks masyarakat Adat Perpatih terdapat 12 suku iaitu:
1) Biduanda
2) Batu Hampar
3) Mungkal
4) Seri Lemak
5) Paya Kumboh
6) Tiga Nenek
7) Sri Melenggang
8 ) Batu Belang
9 Tanah Datar
10) Anak Acheh
11) Anak Melaka
12) Tiga Batu
Lembaga yang mengetuai suku-suku ini dilantik oleh Buapak. Manakala Buapak ini pula ialah ketua Perut. Buapak dipilih oleh Anak Buah yang menjadi anggota Perut. Perut adalah satu keluarga besar yang berasal dari moyang yang sama jika dilihat pada jurai sebelah ibu (matrilineal). Mereka ini sangat rapat dan selalunya tinggal di sesuatu perkampungan yang sama.

Saturday, December 22, 2018

Adat Perpatih

Keunikan masyarakat Negeri Sembilan dapat dilihat daripada sudut amalan Adat Perpatihnya yang memang diketahui umum. Masyarakat Negeri Sembilan yang dasarnya berasal dari Minangkabau telah membawa bersama-sama adat resam, ‘Biar mati anak, jangan mati adat’ dan kebudayaan mereka yang dapat digambarkan melalui rekabentuk bumbung rumah iaitu berbentuk tanduk kerbau.
Adat Perpatih mengikut istilah merupakan urutan kata-kata yang mendukung satu cita-cita dan ideologi bersama yang menjadi undang-undang/hukum/pegangan dan anutan kepada masyarakat di Negeri Sembilan. Konsep am dalam adat ini merangkumi seluruh bidang undang-undang, iaitu peraturan perlantikan ketua-ketua adat, peraturan perkahwinan, kedudukan suami dalam suku, pewarisan dan sebagainya.
‘Adat menimbulkan yang baik, menghilangkan yang buruk’.
Adat boleh dibahagikan kepada empat iaitu:
    1. Adat yang sebenar adat
    2. Adat yang teradat
    3. Adat yang diadatkan
    4. Adat istiadat
Adat yang sebenar adat
Ia adat yang asli dan merupakan aturan asas yang menjadi dasar kehidupan masyarakat Adat Perpatih. Adat ini tidak boleh diubah dan merupakan undang-undang yang tak lapok dek hujan dan tak lekang dek panas

Contohnya;
Raja menobat di alam,
Penghulu (Undang) menobat di luar, 
Lembaga menobat di dalam lingkungan, 
Buapak menobat pada anak buah, 
Orang ramai menobat pada teratak

Adat yang teradat
Ia adalah peraturan yang dilahirkan oleh masyarakat seperti mas kahwin, hukum atas kesilapan, atau kata muafakat yang telah diadatkan.

Contohnya;
Kata Undang melimpahkan, 
Kata Lembaga menyelesaikan, 
Kata ulama kata hakikat, 
Kata monti kata menyambung, 
Kata hulubalang kata berdarah, 
Kata perempuan merendah, 
Kata orang ramai yang kata bulat.
Adat yang diadatkan
Sesuatu yang disusun mengikut muafakat dan kemudian dijadikan adat/undang-undang. Contohnya:
Bulat anak buah menjadikan Buapak,
Bulat Buapak menjadikan Lembaga, 
Bulat Lembaga menjadikan Undang, 
Bulat Undang menjadikan keadilan (Raja).
Adat istiadat
Adat-adat resam yang terdapat dalam satu-satu upacara. Adat istiadat bersifat keraian yang dianggap baik jika dilakukan, contohnya adat bersanding.
Orang semenda disuruh pergi,
Dipanggil datang,
Raja orang semenda, tempat semenda.

Institusi Undang

Antara keistimewaan yang terdapat di Negeri Sembilan adalah wujudnya institusi Undang di dalam sistem pentadbiran negeri. Undang adalah ketua kepada Luak atau unit kawasan pentadbiran dari segi adat yang terbahagi kepada empat luak yang utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu.

YTM DATO' KLANA PETRA DATO' HAJI MUBARAK BIN DOHAK
UNDANG LUAK SG. UJONG
DTNS, PPT, ANS, PMC, PJK, PKL

(KOSONG)

YTM DATO' JOHAN PAHLAWAN LELA PERKASA SETIAWAN DATO' MUHAMMAD BIN HJ. ABDULLAH
UNDANG LUAK JOHOL

YTM DATO' LELA MAHARAJA DATO' HAJI MUHAMAD SHARIP BIN HAJI OTHMAN
UNDANG LUAK REMBAU
DTNS, PPT, ANS, PMC, PJK, PKL

Y.T.M. TUNKU SYED RAZMAN BIN TUNKU SYED IDRUS AL-QADRI
TUNKU BESAR TAMPIN
DTNS, PPT, JP, ANS, PMC, PJK, PKL, PHF






Admin: Kekosongan adalah Undang Luak Jelebu.

Thursday, August 16, 2018

Monday, August 13, 2018

Negeri-negeri Malaya: Lawatan YDPA Pertama Tuanku Abdul Rahman

Semasa Baginda Tuanku Masih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan


Melawat Melaka


Melawat Negeri-Negeri Pantai Timur


Lawatan ke Pulau Pinang

Monday, August 6, 2018

YDPA Pertama Tuanku Abdul Rahman (2)

Mengimbau detik-detik bersejarah pembentukan negara tercinta.







Saturday, August 4, 2018

Yang Dipertuan Agong Pertama

Lama tak mengemaskini di sini,
Saja nak berkongsi pertabalan Yang Dipertuan Agong bagi Persekutuan Malaya.










Friday, January 26, 2018

Kerja Baik Pulih Istana Lama Seri Menanti

Photo photo berikut dirakam pada 12 Nov. 2017. Kerja kerja baik pulih istana kayu ini sedang berjalan. Diharapkan semuanya berjalan lancar dan orang ramai yang tidak sabar utuk mengunjunginya akan berpuas hati. 

Diharapkan istana yang dijadikan muzium diraja ini bukan saja mempunyai koleksi baru dan baik malah dilengkapkan dengan ciri ciri keselamatan anti kebakaran. Kita perlu waspada sentiasa menjadikan Istana Pagaruyung yang terbakar pada 2007 sebagai contoh untuk kita membangunkan dan dilengkapkan ciri ciri keselamatan. Kita tak mahu yang dipamerkan nanti hanya replika sahaja.