Bujam adalah alat atau bekas diperbuat dari daun mengkuang atau pandan yang dianyam dan pemilihan daun pandan lebih elok kerana lembut.

Ia sejenis tas tangan atau kantung diperbuat dari daun mengkuang ataupun pandan yang disulam kemas, bersaiz empat segi serta dibaluti kain tebal berukuran sederhana dan ditenun menggunakan benang emas.

Bujam diguna untuk mengisi bekas makanan sirih diperbuat dari tembaga atau lebih dikenali cembol-cembol yang mengisi pinang, kapur, gambir, tembakau, dan sirih.

Digunakan untuk mengundang seseorang

Kewujudan bujam seiring dengan kehadiran Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Walaupun Adat Perpatih masih diguna pakai di negeri ini, namun kegunaan bujam seakan pupus ditelan dek zaman.

Menurut pakar rujuk Adat Perpatih Negeri Sembilan, Datuk Khalid Bonget, 75, bujam berperanan ketika ingin mengundang seseorang atau keluarga ke sesuatu majlis, seperti majlis perkahwinan, dan majlis adat.

Bagaimanapun bukan semua jemputan perlu membawa Bujam, hanya orang tertentu sahaja.

“Sebagai contoh, jika ingin menjemput orang adat hadir ke majlis perkahwinan, keluarga itu terutama ibu soko yang perlu menyediakan bujam ini.
Bak kata pepatah;

Balam dipikat dengan balam (orang biasa)
Gajah diumpan dengan gajah (orang kenamaan)


“Zaman dahulu, bujam ini digunakan untuk menjemput tok mudim, bidan kampung, guru mengaji semasa majlis khatam al-Quran.

“Bujam dijadikan pengeras atau sebagai pembuka kata ketika bertemu bomoh atau pawang sebelum menyatakan tujuan. Jika dalam pentadbiran moden ini, ia boleh disamakan sebagai protokol untuk menjemput orang kenamaan,” katanya.

Dua jenis bujam

Menurut Khalid, terdapat dua jenis bujam iaitu Bujam dan Bujam Epok.

“Beza kedua-dua ini di bahagian bucu kiri dan kanan sebelah bawahnya. Jika bujam epok, di bawah penjuru bucu itu dibuat rambu-rambu kain berwarna-warni. Berbeza dengan bujam yang mana ia lebih ringkas dan tiada rambu-rambu di bahagian bucu kiri dan kanan kain.

“Kalau Bujam tidak disimpan peralatan makanan sirih, ia lebih dikenali sebagai sumpit.

"Orang tua-tua dahulu gunakan sumpit ini untuk diisikan beras, dibawa ke majlis kenduri kendara. Secupak beras disimpan ke dalam sumpit juga diperbuat dari daun mengkuang atau pandan," katanya.

Kata Khalid, kain pembalut bujam akan dilebihkan bagi memudahkan pemiliknya untuk melipat, menutup bahagian permukaan mulut Bujam.

“Badan bujam ini dihiasi dengan kelengkan (benang emas) di bahagian depan dan belakang mengikut citarasa si pembuat.

“Dalam bujam epok ini ada dua lapis mengkuang iaitu di bahagian luar selapis dan di dalam ada selapis lagi, ibarat macam ‘anak’. Kalau bujam sahaja, mengkuangnya satu lapis,” katanya.

Mempunyai makna tersendiri

Tambah Khalid, setiap perincian bujam epok membawa maksudnya tersendiri dalam Adat Perpatih.

“Bujam epok dihiasi tali sebagai pengikat badan bujam dinamakan bertendan. Bujam tersebut dililit empat lilitan yang melambangkan empat orang Lembaga dalam Luak Ulu Muar.

“Hanya mereka dibolehkan menggunakan bujam epok dalam istiadat yang diadakan dan mengikat bujam epok. Suku empat itu seperti Tanah Datar, Mungkal, Seri Lemak Minangkabau dan Seri Melenggang. Manakala lapan suku lain hanya memasukkan tali ke dalam bujam epok," katanya.

Tali itu membawa satu pengertian yang disebut dalam pepatah;

Keris penyalang kepada penghulu (Undang)
Pedang pemancung kepada keadilan (raja)


“Tali pengikat kepada Lembaga yang empat membawa maksud ikat pesalah adat yang dihadapkan kepada pengadilan. Hanya Lembaga yang empat sahaja layak mengikat atau menghukum kesalahan,” katanya.

Sebagai pelengkap adat

Katanya, beliau turut menggunakan bujam epok ketika menjemput orang adat, kenamaan semasa mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Siti Rokiah Mohd Yassin.

“Bujam epok berwarna merah ini telah berusia lebih dari 60 tahun, namun daun mengkuangnya masih lagi elok dan cantik,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, bujam epok juga boleh dibawa ketika memujuk suami merajuk dengan sebekas wajik dan berperanan sebagai pelengkap adat bagi menjemput lelaki balik ke rumah keluarganya apabila lelaki tersebut kematian isteri.

baca lagi disini