Al-Quran

Monday, August 31, 2015

Pasukan Polis Negeri Sembilan

Satu ketika Balai Polis Sri Menanti menumpang di Balai Pengawal depan Istana Seri Menanti dan kuaters bagi kakitangan juga menumpang dikuaters Istana tersebut. Kini kuaters tersebut telah tiada lagi dan balai polis baru telah didirikan berhampiran makam diraja dan masjid DiRaja Tuanku Munawir. Tapak balai polis tersebut adalah sebuah rumah limas diperbuat dari kayu.

Teringat kawan sekolah anak anggota polis Seri Menanti bernama Abu Zaid bin Abdullah yang telah berpindah semasa kami di darjah empat atau lima. Kemana...dimana...

Manakala balai polis Kuala Pilah terletak berhadapan komplek pejabat daerah Kuala Pilah, kini balai tersebut dijadikan ibu pejabat trafik Kuala Pilah dan IPK telah berpindah di Jalan Melang beberapa tahun dulu.

seteruanya ikutilah  sejarahnya di Portal Rasmi Polis DiRaja Malaysia dibawah;

Apabila sistem Residen diperkenalkan dalam tahun 1875 di Sungai Ujong, seorang Penolong Residen, Kapten Tatham, ditempatkan di sana, tetapi perlantikan itu adalah sementara dan beliau digantikan oleh Kapten P.J. Murray, R. N. 


Murray bertanggungjawab membentuk pasukan polis di Sungai Ujong. Walaupun pasukan polis ini kecil tetapi organisasinya kemas. Pasukan polis Sungai Ujong dianggotai oleh kaum Sikh. Tugas Polis bercorak ketenteraan sementara anggota Melayu ditugaskan sebagai pemungut hasil. Kebanyakan balai polis yang mula-mula didirikan dilengkapi dengan kubu-kubu terutamanya di daerah-daerah terpencil.
Satu kejadian penting yang melibatkan peranan polis ialah pergaduhan di Terachi pada tahun 1875. Dalam kejadian itu, sekumpulan orang melayu bangun menentang penjajah British tetapi polis telah menumpaskan mereka di Bukit Putus dalam bulan Disember 1875. Pasukan tentera yang sebahagian besarnya dianggotai oleh bangsa Gurkha yang didatangkan dari Melaka bertanggungjawab mematahkan penentangan tersebut. Satu pertubuhan pasukan polis yang diketuai oleh dua pegawai, Bird dan Skinner, turut sama dalam operasi tersebut.

 Kubu pertahanan dan Balai Polis Jempol 187O
Orang Eropah yang pertama dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan ialah W . W . Douglas (1881). Jawatannya dikenali sebagai Penguasa polis dan penjara, Sungai Ujong. Menjelang tahun 1880 pasukan polis Sungai Ujong mengandungi 100 anggota yang kesemuanya Melayu kecuali beberapa orang Jawa.


Menjelang tahun 1889 seorang Inspektor Eropah, Hennesey, telah ditukarkan dari Jelebu ke Sungai Ujong. Pada tahun 1890 kekuatan pasukan polis ini terdiri daripada  36 orang Melayu dan 13 Sikh. Anggota pasukan ini meningkat ke 66 orang melayu dan 20 Sikh dalam tahun 1892. Pada tahun 1891 Douglas menyerahkan kepimpinan pasukan polis Sungai Ujong kepada H.W. Bathurst yang kemudiannya digantikan oleh F. W .Talbot tidak lama kemudiannya. Semasa pimpinan Talbot kedua pasukan polis yang wujud di Negeri Sembilan disatukan dibawah satu pentadbiran. Pasukan Polis Negeri Sembilan ini kemudiannya berkembang pesat sehinggalah bergabung dengan pasukan polis negeri-negeri melayu Bersekutu.



Balai Polis dan rumah kediaman anggota-anggota Polis Sri Menanti, Negeri Sembilan dalam tahun 1874

Balai Polis Bukit Putus 1874

    Balai Polis Rasah, Negeri Sembilan pada tahun 1879

IbuPejabat Kontinjen Negeri Sembilan (lama) di Seremban yang dirasmikan oleh J.W. Simmons (Residen British)Negeri Sembilan pada 6 Julai 1929


Anggota polis Negeri Sembilan di hadapan 
Balai Polis Kuala Kelawang pada tahun 1930


IbuPejabat Daerah Polis Port Dickson dalam tahun 1928


Pembukaan rasmi IbuPejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan 

di Seremban pada 6 Julai 1929
angkut dari....

Sunday, August 30, 2015

Jejak Warisan@ASFON

KUALA PILAH















JEMPOL













JELEBU


Moyang Salleh Dato Undang Jelebu yang pertama bergelar  Datuk Menduleka Menteri Akhir Zaman Sultan Jelebu,gelaran diberi oleh Sultan Johor. Beliaulah memutuskan tali ke Johor dan memerdekakan Jelebu.

Selepas Undang ke 11 gelaran itu telah dipendekkan menjadi Dato’ Mendika Mentri Akhirul-Zaman hingga ke hari ini.
  






Sunday, August 23, 2015

Bekas Panglima ATM Meninggal Dunia@RAMD

Bermula dari anak tempatan yang pertama Jeneral Tunku Osman Tunku Mohamad Jewa, Jeneral Mohd Sany adalah Panglima yang ke empat menerajui ATM dari 01 Disember 1977 hingga 19 Januari 1981. Dibulan kemerdekaan beliau telah kembali menemui penciptanya. Al-Fatihah.



Bekas Panglima ATM Tan Sri Mohd Sany Meninggal Dunia

Diterbitkan: Sabtu, 22 Ogos 2015 7:49 PM
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menunaikan solat jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Sany Abdul Ghaffar di Masjid Khalid Al Walid pada Sabtu. Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (empat, kanan) dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tiga, kanan). Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Mohd Sany Abdul Ghaffar, 86, meninggal dunia pada Sabtu di Institut Jantung Negara (IJN) akibat masalah jantung.
Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN pada kira-kira pukul 2.20 petang.
Beliau berkata, arwah sebelum ini pernah dirawat di Hospital Tuanku Mizan Zainal Abidin, Wangsa Maju akibat masalah kulit sebelum dimasukkan ke IJN untuk rawatan jantung.
Zulkifeli menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar buat negara kerana arwah merupakan perwira yang sangat jitu sepanjang memegang tampuk kepimpinan ATM.
"Saya berasa sedih di atas kehilangan arwah dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya di samping memohon agar arwah ditempatkan bersama para solihin yang lain.
"Saya juga berharap keluarga arwah tabah menghadapi dugaan ini," katanya kepadaBernama di Masjid Khalid al-Walid di sini, Sabtu.
Zulkifeli berkata, bukan sahaja ATM kehilangan seorang pahlawan yang banyak mencurahkan jasa kepada tentera, malah negara juga turut terkesan atas pemergian Allahyarham dalam menentukan kedaulatan dan keselamatan tanah air.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut berangkat menziarah jenazah Allahyarham di Masjid Khalid al-Walid pada pukul 4.41 petang.
Baginda turut menunaikan solat jenazah yang diadakan selepas solat asar bersama anggota warga ATM dan para jemaah lain di masjid berkenaan.
Sementara itu Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menganggap Allahyarham sebagai seorang ikon kerana merupakan antara pemimpin ATM yang membentuk ketumbukan ketenteraan negara yang mantap.
"Arwah merupakan seorang yang kuat pendirian selain mempunyai personaliti yang kukuh ketika menerajui ATM," katanya sambil menambah arwah sanggup mengenepikan segala onak dan duri sepanjang memimpin ATM bagi menentang ancaman komunis.
Allahyarham mula berkhidmat pada 19 September 1949 dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan mula menerajui ATM mulai 1 Disember 1977 hingga bersara pada 19 Januari 1981.
Mohd Sany dilahirkan pada 19 Jan 1929 di Selayang, Selangor. Beliau meninggalkan isteri Puan Sri Normah Mahmud dan lima orang anak.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Wednesday, August 19, 2015

Dari Estate ke Pusat Latihan

Sebagai memperingati jasa-jasa keempat-empat tokoh yang memperjuangkan penubuhan Askar Melayu, nama-nama mereka telah diabadikan dibeberapa batang jalan didalam Pusat Latihan ini. Jalan Alang Iskandar, dahulu penempatan rumah kediaman PTT kanan dan bunglow pegawai. Rata-rata kuaters disini bercirikan kolonial.

Jalan Dato' Abdullah, Jalan Raja Chulan dan Jalan Tuanku Muhamad. Kuaters bagi kakitangan rendah Jalan Tuanku Muhamad tidak ada lagi setelah diroboh beberapa tahun lalu. 

Oleh itu pehak berkuasa di Depot Askar Melayu ini atau PUSASDA sendiri perlulah mencari lokasi yang sesuai dalam Pusat Latihan ini bagi mengabadikan nama  almarhum Tuanku Muhammad sebagai mengenang jasa baginda dalam penubuhan Askar Melayu.

Update:
Bagi saya tempat berikut boleh difikir bagi mengabadikan nama almarhum Tuanku Muhammad:-
1. Masjid Depot
2. Muzium Tentera Darat
3. Padang Kawad PUSASDA
.......oooooo000000ooooo.......

Dibawah ini rencana yang disedut dari FB Persatuan Sejarah Negeri Sembilan.


Sejak penjajahan oleh Kerajaan Kolonial British, pasukan-pasukan Tentera British dan juga Tentera British India (British Indian Army) seperti pasukan “Burma Rifles” telah ditugaskan untuk mengawal keselamatan. Ini melibatkan kos yang tinggi kerana pasukan-pasukan itu terpaksa dibawa daripaada Britain dan India untuk berkhidmat di Tanah Melayu.
Semenjak tahun 1902, Raja-Raja Melayu terutamanya Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan), Raja Chulan (Kerabat DiRaja Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau) telah menggesa Kerajaan Kolonial British di Malaya untuk menubuhkan satu rejimen tentera yang dianggotai oleh orang-orang tempatan.
Pada 23 November 1932, Jabatan Perang British memberikan persetujuan untuk penubuhan satu pasukan Askar Melayu sebagai satu rejimen tempatan dalam Angkatan Tentera British (Rejimen ini dilatih dan diurus oleh Rejimen Tentera British Malaya). Pada 23 Januari 1933, Majlis Perundingan Persekutuan (Federal Consultative Council) telah meluluskan Akta No. 11 yang dikenali dengan nama Akta Rejimen Askar Melayu dan meluluskan peruntukan $70,000 bagi pembelian Kong Sang Rubber Estate di Port Dickson untuk tapak bagi kegunaan sebagai Pusat Latihan Rekrut Askar Melayu.
Pasukan Askar Melayu bermula dengan penubuhan Kompeni Percubaan Pertama (1st Experimental Company) pada tahun 1933 dan merupakan titik permulaan pasukan tentera anak watan di Tanah Melayu.
Pada 1 Februari 1933, seramai 25 orang anak Melayu daripada 100 orang calon telah dipilih sebagai “sesuai untuk diambil menjadi rekrut” di dalam pasukan Askar Melayu.
Pasukan Askar Melayu ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1933 di Haig Lines, Port Dickson, Negeri Sembilan. Pasukan ini di letakkan di bawah perintah Mejar G. Mc Bruce , sementara Kapten K.G. Exham dilantik menjadi Adjutan. Sarjan Mejar A. E. McCarthy dilantik menjadi Sarjan Mejar Rejimen dan Sarjan Kuartermaster E. Oldfiled menjadi Sarjan Kuartermaster.
Pasukan ini dikira sebagai percubaan kerana pada peringkat itu, ia bertujuan untuk menilai kesesuaian orang-orang melayu sebagai anggota tentera, dan bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan disiplin tentera (Mejar Jeneral G. Mcl. S. Bruce, O.B.E. M.C. (bersara). (Petikan dari rencana "Trying it out with No. 1 Squad", Pahlawan, Vol. 1, Kuala Lumpur, 1952.)

Monday, August 17, 2015

Sarjan Hassan@Sergeant Hassan

Sempena bulan kemerdaan ini rencana tentang pejuang terdahulu sempat saya google di enternet, ikutilah kesahnya dibawah atau anda boleh terus ke link yang diberikan. Hayatilah perjuangannya dan semangatnya. Oh! Ya, kampung Pantai terletak, Jalan Seremban-Jelebu.
Sarjan Hassan

Dari dokumentari Sarjan Hassan

<=SARJAN Hassan ketika menerima anugerah Military Medal dari Leftenan Kol EA Hefford.

              Poster Filem Sergeant Hassan=>

Anak kelahiran Kampung Pantai dianugerah Military Medal pada 1953 UMUM mengenali Sarjan Hassan sebagai filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang digarap berdasarkan kisah seorang anggota Askar Melayu yang tidak mengenal erti gentar ketika menentang penjajah Jepun di Tanah Melayu.

Filem perang itu begitu popular pada awal 60-an, tetapi kisah yang dipaparkan itu agak menyimpang jauh daripada kisah sebenar liku hidup Sarjan Hassan Othman yang dipaparkan kali ini.

Sarjan Hassan dianggap patriot terbilang yang pernah dilahirkan Askar Melayu kerana kejayaannya membunuh 11 anggota komunis ketika menjadi ketua seksyen dan platun dalam Batalion Empat Rejimen Askar Melayu selama tiga tahun dari 1950 hingga 1953.

Beliau dilahirkan pada 15 Februari 1927 di Kampung Pantai, tidak jauh dari Seremban, Negeri Sembilan dan berkelulusan darjah lima Sekolah Melayu. Allahyarham Sarjan Hassan memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan tentera pada 21 Disember 1946 sebagai rekrut Askar Melayu dan menjalani latihan di Port Dickson selepas berlaku satu peristiwa ngeri yang mengorbankan isteri dan keluarganya.

Usaha menjejak sejarah perjuangan dan susur galur patriot ini bukan tugas mudah sehingga penulis mengambil masa hampir sebulan membuat rujukan di pusat sumber serta merisik di kawasan perkampungan asal Allahyarham.

Penulis juga berusaha mengesan saudara mara Allahyarham di Kampung Pantai dan Rasah yang dikatakan tempat tinggal terakhirnya.

Bagaimanapun, seorang penduduk asal Kampung Pantai, Ishak Harun, 72, ketika ditemui berkata, melalui cerita orang lama yang didengarnya, Allahyarham begitu bersemangat untuk memburu pengganas selepas beberapa ahli keluarganya, termasuk isterinya dibunuh dengan kejam oleh komunis.

"Saya tidak dapat mengesahkan sama ada Allahyarham yang berasal dari kampung ini adalah Sarjan Hassan yang kisahnya difilemkan itu atau Hassan lain," katanya.

Katanya, sepanjang pengetahuannya, tiada juga sebarang peninggalan seperti rumah atau tinggalan lain milik keluarga Sarjan Hassan untuk menyokong bukti yang Allahyarham dilahirkan dan pernah menetap di kampung berkenaan.
Rujukan di Muzium Negeri Sembilan dan Muzium Tentera Darat, Port Dickson berjaya menyingkap sedikit kisah latar belakang Sarjan Hassan yang memang menunjukkan Allahyarham berasal dari Kampung Pantai.

Sebaik menamatkan latihan rekrut pada 10 Jun 1947, Hassan menyertai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu dan dilantik menjadi Lans Koperal pada 28 April 1948 sebelum bertukar ke Batalion Keempat rejimen itu pada 1 Disember 1949 dan dinaikkan pangkat Koperal pada 24 Oktober 1950.

Kesungguhannya yang tinggi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan membolehkan pejuang itu dinaikkan pangkat Sarjan mulai 1 September 1952 dan terus mencurahkan bakti kepada Batalion Keempat yang berpangkalan di Mentakab, Pahang.

Kompeninya ditugaskan beroperasi di kawasan Triang, Pahang, bermula pada 16 November 1953 dengan Allahyarham dilantik mengetuai pasukan rondaan mengandungi sembilan anggota selepas menerima arahan daripada Pegawai Memerintah.

Satu daripada kisah keberaniannya adalah ketika diarahkan mengetuai pasukannya menyiasat bunyi tembakan yang didengar dari arah barat daya satu kawasan hutan di Triang

Selepas satu jam meninggalkan pangkalan, peninjau kumpulan ronda mendengar bunyi pokok ditebang, lantas Sarjan Hassan memerintahkan pasukannya merangkak ke hadapan dalam barisan menghala ke arah bunyi potongan pokok berkenaan.

Dalam jarak kira-kira 150 meter dari bunyi potongan itu, Allahyarham menghentikan pergerakan anggota ronda dan memerintahkan seorang pegawai tidak bertauliah dalam platunnya membentuk satu kedudukan serang hendap.

Sarjan Hassan membawa seorang anggota berpangkat prebet mengikuti di sebelah kanan sasaran bagi membuat tinjauan di kawasan berkenaan dan mendapati beberapa pengganas komunis sedang sibuk membuat persiapan untuk mendirikan khemah.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk menyerang pasukan pengganas berkenaan bersama anggota prebet terbabit dari arah strategik, yang akan membolehkan pengganas ditawan atau ditembak oleh anggota pasukannya yang lain jika melarikan diri.

Bagaimanapun, kehadiran beliau bersama prebet berkenaan disedari seorang pengganas yang terus mensasarkan laras senapangnya ke arah mereka, tetapi Allahyarham lebih pantas melepaskan tembakan yang berjaya membunuh pengganas terbabit.

Seorang lagi pengganas juga berjaya dibunuh Sarjan Hassan, manakala dua rakan mereka melarikan diri ke arah kedudukan kumpulan serang hendap dan menerima nasib yang sama di tangan anggota kumpulan platun pimpinan Allahyarham.

Sarjan Hassan menunjukkan keberanian yang tinggi dalam membuat keputusan menyerang perkhemahan pengganas walaupun hanya disertai seorang anggotanya.

Kemahiran menggunakan senjata dengan baik memberikan kelebihan kepada beliau ketika berdepan saat cemas dan kecekapan itu berjaya menyelamatkan nyawa seorang anggota lain.

Kejayaan berkenaan dicapai melalui ketenangan dan kepantasan bertindak serta perhitungan muslihat yang tepat dan bijak di samping kemahirannya menguasai suasana hutan tebal yang cukup tinggi.

Kelebihan itu membolehkan Sarjan Hassan mendedahkan semua empat pengganas yang ditemuinya dan menentukan mereka tidak terlepas daripada kumpulan rondaannya.


Dinaikkan pangkat Leftenan Muda pada 1957

MAKLUMAT dari Muzium Negeri Sembilan dan Muzium Tentera Darat merekodkan Sarjan Hassan pernah menjadi ketua seksyen dan platun dalam Batalion Empat Rejimen Askar Melayu selama tiga tahun dari 1950 hingga 1953 dan secara peribadi dikatakan berjaya membunuh 11 pengganas.

Bagaimanapun, ada juga maklumat mengatakan beliau berjaya membunuh 54 anggota Bintang Tiga sepanjang perkhidmatannya dan atas kecemerlangan itu, Sarjan Hassan disokong Pegawai Memerintah Batalion, Leftenan Kol EA Hefford dianugerahkan Military Medal (MM) pada 30 Disember 1953.

Beliau menerima pengiktirafan itu apabila Ratu melalui London Gazette menganugerahkan MM kepada Sarjan Hassan pada 12 Mac 1954 yang disampaikan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray di King's House, Kuala Lumpur.

Selain MM, Sarjan Hassan juga dianugerahkan General Services Medal dan Mention in Despatches oleh Kerajaan British pada 1950 dan 1952 kerana keberaniannya ketika berhadapan dengan pengganas komunis sewaktu menjalankan operasi.

Di atas kejayaan dan kecemerlangannya itu, beliau terpilih mengikuti latihan kadet Federation Training Wing di Port Dickson mulai 10 Jun 1957 dan ditauliahkan pangkat Leftenan Muda Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu pada 7 Ogos tahun berkenaan.

Allahyarham juga dikatakan terbabit dalam tindakan menggagalkan usaha 400 hingga 500 anggota komunis di Water Fall Estate, Rawang Selangor yang cuba mensabotaj kemerdekaan negara 10 hari sebelum 31 Ogos 1957.

Beliau kemudian ditugaskan di Briged Kedua Infantri pada 4 Disember 1959 dan menamatkan perkhidmatan sebagai Penolong Ketua Kompeni di Kompeni Lima Melayu pada 5 Ogos 1962 selepas berkhidmat selama 16 tahun dengan menyandang pangkat terakhir sebagai Kapten.

Hasil perkongsian hidup dengan isteri keduanya, Aishah Bujang yang dikatakan berasal dari Kampung Rasah yang dikahwini pada 20 Januari 1952, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, empat lelaki dan empat perempuan.

Pejuang negara ini menghembuskan nafas terakhir pada 30 April 1991 akibat sakit jantung di Hospital Besar Seremban (sekarang Hospital Tuanku Jaafar) dan dikebumikan di Makam Haji Said, Seremban, tetapi usaha menjejak makamnya juga menemui jalan buntu.

Antara anugerah lain yang diperoleh beliau ialah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Ahli Mangku Negara (AMN).

http://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=328188


Thursday, August 13, 2015

Anugerah Tidak Diiktiraf

Darjah kehormat Undang Luak Johol tak diiktiraf