Al-Quran

Friday, September 9, 2016

Lagi Cerita Undang Luak Johol

Undang NS dipecat dakwa ada 'jenayah pemberontakan'





Undang Luak Johol ke-14 Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Mohd Jan Abdul Ghani menghantar surat bantahan susulan pemecatannya yang dipertikai.
Orang Besar Balai Datuk Jenang Anuar Nordin yang mewakili Mohd Jan berkata bantahan terhadap pemecatan pada 27 Mac lalu itu dihantar melalui peguam pada 23 Ogos bagi mempertikai Laporan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

"Malah, satu surat permohonan kebenaran penubuhan Mahkamah Khas Raja-raja akan dihantar kepada Peguam Negara dalam tempoh terdekat ini bagi mempertikaikan laporan yang dikeluarkan oleh pihak Dewan Keadilan tersebut," kata Anuar.
Anuar berkata, pihaknya akan melakukan pelbagai cara memandangkan isu perlucutan jawatan Undang Luak Johol merupakan perkara serius.

Katanya lagi, ia mencemarkan kesucian serta martabat institusi raja-raja Melayu, khususnya institusi raja di Negeri Sembilan.
"Sekiranya perkara seperti ini dibiarkan tanpa melalui proses perbicaraan yang adil serta melalui cara adat-istiadat yang sahih dan benar, kami berpendapat tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku ke atas Undang Yang Empat yang lain.
"Dan tidak mustahil juga boleh berlaku terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan juga terhadap institusi Raja-raja Melayu di negeri-negeri lain.
"Isu ini hendaklah dipandang serius dan teliti oleh semua pihak terutamanya Majlis Raja-raja bagi menjaga kesucian institusi Raja-raja Melayu secara am dan institusi Raja Negeri Sembilan khususnya," ujarnya lagi.
Bernama pada 21 Mac melaporkan Mohd Jan dilucutkan jawatannya sebagai Undang Luak Johol oleh Buapak Yang Enam di Balai Undang Luak Johol selepas didapati melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.
Kesemua 13 kesalahan itu didapati menghina pesaka dan adat Luak Johol di bawah kesalahan berat merujuk kepada bukuGemuk Berpupuk, Segar Bersiram yang diterbitkan pada 1996.
Dalam sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini, Anuar berkata Mohd Janmenganggap dirinya dianiaya dan mendakwa pemecatannya dibuat tanpa mengikut prosedur dan tiada surat rasmi.

Anuar juga berkata pemecatannya tindakan tidak matang kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
Jenayah pemberontakan
Justeru itu, mereka mendakwa, usaha untuk memecat Undang Luak Johol ke-14 merupakan “jenayah pemberontakan atau dahaga-dahagi”.
"Keputusan Dewan Keadilan adalah terang lagi bersuluh adalah tidak adil, berat sebelah, bertentangan dengan adat Luak Johol, bertentangan dengan prinsip asas undang-undang keadilan asasi, perbicaraan yang adil dan hak untuk dibicarakann.
"Malah kesemua 13 tuduhan tidak dibuktikan terlebih dahulu dan proses undang-undang tidak diikuti dan dipatuhi oleh Dewan Keadilan.
"Jadi pemecatan pada 27 Mac 2016 adalah bersifat pramatang kerana ia bukan suatu pemecatan yang diputuskan dalam mesyuarat atau persidangan Dewan Keadilan," kata Anuar yang membaca kenyataan yang ditandatangan Mohd Jan.
Katanya lagi, laporan polis mengenai perkara berkaitan juga telah dibuat.

No comments: