Al-Quran

Sunday, April 10, 2016

Pertikaian Lantikan Undang Luak

Laporan polis berhubung pelantikan Undang Luak Jelebu

SEREMBAN 9 April – Satu laporan polis telah dibuat berikutan pengisytiharan Undang Luak Jelebu ke-16 yang didakwa dilakukan secara tidak sah oleh Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Datuk Mat Tarmizi Selamat semalam.

Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Ismail Md. Zin berkata, pihaknya berbuat demikian ekoran pelantikan Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, tidak mengikut aturan adat di Luak Jelebu.
“Mat Tarmizi telah dipecat sebagai pemangku Undang Luak Jelebu. Justeru dia tidak layak untuk membuat sebarang lantikan.

“Selain itu, dia dilihat menceroboh Balai Undang Luak Jelebu dengan menjalankan majlis berkenaan dan kita telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Klawang semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Muhamad Azafean yang merupakan Pengurus Besar Jualan (Automotif) di Ichikoh (M) Sdn. Bhd. diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16, semalam.

Bagaimanapun, pelantikannya mencetuskan kontroversi dan mendapat bantahan apabila didakwa dilakukan tanpa mengikut adat yang menjadi amalan di Luak Jelebu.

Dalam pada itu, Ismail mendakwa, nama Muhamad Azafean tidak tersenarai dalam tiga nama senarai pendek calon Undang Luak berkenaan sekali gus tidak melalui persepakatan Tali Pesako dan Tali Adat.

Justeru katanya, Datuk Lembaga atau Penyandang Pusaka Luak Jelebu yang terdiri daripada Datuk Menteri, Datuk Mengiang, Datuk Maharaja Inda, Datuk Raja Balang dan Datuk Cincang akan bermesyuarat sekali gus menyenaraikan nama calon baharu untuk diserahkan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
“Terpulang kepada Dewan Keadilan untuk mempertimbangkan nama calon itu atau mengekalkan Muhammad Azafean,” jelasnya.

Sementara itu, Ibu Soko Perut Kemin Beringin, Ramlah Ujang melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman Undang Luak Jelebu yang baharu kerana ia dibuat secara mengejut dan mengetepikan aturan adat.

“Urusan pelantikan itu dibuat secara kelam-kabut dan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat. Tindakan itu telah menimbulkan banyak masalah dan tanda-tanya,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ramlah dalam pada itu juga mempersoalkan pelantikan seorang yang kurang dikenali dalam kalangan masyarakat di Kuala Klawang bagi memegang jawatan penting itu.

“Beliau tidak dibesarkan dan kurang bercampur dengan masyarakat di sini. Sebab itu ramai yang tertanya-tanya mengenai identiti beliau. Saya sendiri tidak mengenali beliau,” katanya.

disini

          *********************************************************************************


Pakar undang-undang, adat siasat isu Undang Luak Johol

REMBAU 9 April – Laporan siasatan berhubung kemelut pelantikan Undang Luak Johol akan dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada Rabu ini.

MOHAMAD HASAN
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laporan itu disediakan oleh jawatankuasa khas yang turut melibatkan beberapa pakar undang-undang, agama dan adat.

“Jawatankuasa itu diketuai Setiausaha Kerajaan, Datuk Mat Ali Hassan dan bertindak sebagai badan penyiasat berhubung isu Undang Luak Johol. Mereka telah bersidang dan akan membentangkan laporan siasatan itu kepada Dewan Keadilan pada Rabu ini,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Futsal Tertutup Piala Menteri Besar di Kompleks Sukan Paroi dekat sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan lembaga pembesar adat yang memecat Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abd. Ghani, 76, terhadap 13 pertuduhan melanggar adat di luak berkenaan baru-baru ini.
Berikutan itu, timbalannya, Datuk Muhammad Abdullah dilantik sebagai pengganti dan difahamkan, surat pemecatan Mohd. Jan telah dihantar kepada Tuanku Muhriz.

Mohd. Jan dilantik sebagai Undang Luak Johol ke-14 pada 2007 berikutan kematian Undang sebelum itu, Datuk Abdul Ali.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada Dewan Keadilan untuk mengambil tindakan selanjutnya selepas laporan siasatan itu dikemukakan kelak.

“Kita tunggu laporan siasatan dan berharap kemelut ini berakhir kerana tiada yang lebih baik selain permuafakatan dan mengharmonikan semula keadaan.
“Jika masalah ini masih berpanjangan, laporan siasatan itu akan dijadikan pengukur untuk meneliti pelbagai sudut kerana jawatankuasa itu menyiasat dari segi adat, agama, undang-undang dan prosedur,” katanya.
Dewan Keadilan dan Undang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Johol adalah antara ahli dewan ber­kenaan.

disini

*********************************************************************

Pelantikan Undang Luak Jelebu tidak sah?

Ismail Mohd. Zain (dua dari kiri) bersama Abdul Rahman Adam (kiri),
Ismail Mohd. Zain (dua dari kiri) bersama Abdul Rahman Adam (kiri), Muhamad Azmi Abdul Aziz (dua dari kanan) dan Mohd. Nor Yaakob menunjukkan laporan polis dan surat pemecatan Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Mat Tarmizi Selamat ketika mengadakan sidang akhbar di Kampung Mengkan, Jelebu, Negeri Sembilan, semalam.
JELEBU 11 April – Komuniti adat di Luak Jelebu belum boleh menarik nafas lega meskipun nama Undang Luak Jelebu berkenaan yang baharu telah diisytiharkan pada Jumaat lalu.

Ini kerana Buapak Yang Empat Waris Dato’ Menteri tetap dengan pendirian bahawa Mat Tarmizi Selamat telah dipecat sebagai Pemegang Pesako yang bergelar Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari sejak 28 Mac lalu.
Antara fungsi dan tanggungjawab Dato’ Menteri adalah mengisytiharkan nama Undang Luak yang baharu.

Ismail Mohd. Zain yang mendakwa telah dipilih sebagai Dato’ Menteri yang baharu berkata, pemeca­tan itu adalah muafakat semua Ibu Soko, Buapak Yang Empat dan Anak Buah Waris Dato’ Menteri dalam kerapatan yang diadakan pada 24 dan 25 Mac lalu.

“Bermula daripada tarikh tersebut, Mat Tarmizi tidak dibenarkan sama sekali mengurus, mengendali serta mencampuri urusan adat istiadat di dalam Luak Jelebu.

“Semua tindakan yang dibuat oleh beliau yang berlaku di Balai Undang Luak Jelebu pada 8 April lalu adalah menyalahi amalan adat Luak Jelebu dan tidak diperakui sah oleh Kepala Adat luak ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Klawang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, tiga Buapak Waris Menteri, Tok Lela Raja Mohd. Nor Yaakob, Tok Beremban Muha­mad Azmi Abdul Aziz dan Tok Amar Pahlawan Abdul Rahman Adam.

Dalam majlis pengisytiharan Jumaat lalu, Mat Tarmizi telah meng­umumkan nama Undang Luak yang ke-16, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39.

Majlis itu turut dihadiri lima da­ri­­pada lapan Ahli Tiang Balai Dato’ Lembaga adat Luak Jelebu.
Ismail enggan mendedahkan se­bab pemecatan Mat Tarmizi dengan alasan tidak mahu mengaibkan beliau dan surat pelucutan jawatan itu telah diserahkan kepada Mat Tarmizi pada pukul 7 pagi 28 Mac lalu.

Beliau juga menafikan pemecatan itu dibuat kerana pihaknya mempunyai calon lain bagi jawatan Undang Luak Jelebu.

Ditanya mengenai tindakan selanjutnya, beliau berkata, pihaknya hanya mahu membuat pemakluman mengenai status jawatan adat Mat Tarmizi dan telah menghantar surat mengenainya kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

disini

######################################################################

Kesal kecacatan jadi dakwaan salah laku Undang Luak Johol

No comments: