KUALA PILAH – Seorang lelaki sedang melakukan kerja pembersihan sebuah rumah usang di Kampung Temeris, dekat sini, terkejut apabila menemui sebutir meriam lama, kelmarin.

Ramli Mohamad, 37, ketika ditemui semalam berkata, dia sedang memulakan kerja membuka rumah dengan mencabut tiang-tiang rumah kayu sejak awal pagi lagi.

“Selepas keletihan saya pulang ke rumah dan menyambung kerja sebelah petang. Selepas selesai mencabut tiang-tiang kayu, tinggal sebatang tiang di bahagian tengah rumah.

“Sedang membuat kerja mencabut tiang kayu tersebut, secara tiba-tiba tukul besi berlaga hingga mengeluarkan bunyi kuat.

“Saya tersentap lalu melihat sebutir meriam lama berada di atas tanah dalam keadaan elok. Saya yang terpinga-pinga dan menyangka meriam itu tidak aktif, lalu membawanya keluar ke sebuah warung berhampiran.

“Saya menunggang motosikal sejauh 500 meter ke warung tersebut. Di sana, orang ramai teruja melihat meriam tersebut dan menyatakan kemungkinan ia masih aktif lagi,” katanya.

Bertindak atas dasar keselamatan, rakan Ramli telah menghubungi anggota Polis Balai Batu 10 lalu disambungkan ke Balai Polis Dangi.

Ramli berkata, polis datang untuk mengesahkan penemuan meriam lama berkenaan dan unit pemusnah bom diarah untuk memusnahkannya.

“Mereka melihat dan meneliti meriam itu masih aktif dan ia perlu di bawa ke Balai Polis Dangi dan memberitahu meriam itu masih aktif, saya terkejut kerana sangkaan awal ia tidak aktif malah tidak berbahaya.

“Alhamdulillah, ketika membawa keluar meriam berkenaan, tiada apa-apa kejadian buruk berlaku dan sudah pasti ini adalah pengalaman pertama saya kerana menjumpai meriam ketika membersihkan rumah kampung,” katanya bekerja di kampung sahaja.

Dalam pada itu, Ramli memberitahu, kawasan tersebut dahulunya merupakan hutan tebal Kampung Temeris dan pernah menjadi lokasi pertempuran ketika zaman darurat.

“Mungkin di sini ada sejarahnya tersendiri. Saya percaya masih terdapat lagi meriam ataupun bom lama yang tertanam di sini.

“Cuma buat masa ini, ia masih belum di temui meskipun semalam (kelmarin) anggota polis telah melakukan pencarian mencari sekiranya ada terdapat lebih dari sebutir meriam di sini namun tidak berhasil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim berkata, meriam lama berukuran 30milimeter telah dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban di suatu kawasan lapang jam 11 pagi semalam.

“Meriam ini digunakan pada tahun 1940 dan ia masih aktif. Saya berharap orang ramai yang menjumpai meriam, bom atau apa sahaja, agar segera menghubungi pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

tinjau kek senia