Al-Quran

Sunday, December 23, 2018

Sistem Sosial Adat Perpatih Di Negeri Sembilan

Artikel ini saya copy dari The Patriots dan sangat membantu memahami apa yang sisebutkan. Terima kasih kepada penulis artikel ini kerana serba sedikit mendorong kita mencintai adat perpatih di negeri sembilan.

Ayuh kita kenali sistem sosial yang diamalkan dalam Adat Perpatih. Artikel kali ini disunting bagi memudahkan faham dari sumber rujukan asal, iaitu blog orangnogori.com .Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang. Masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan terbahagi kepada tiga peringkat kumpulan utama iaitu Luak, Suku dan Perut.


Istana Seri Menanti yang berada di tengah-tengah Negeri Sembilan dikelilingi oleh Luak-Luak yang lain.

Yamtuan Besar atau Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah Ketua bagi Kerajaan Negeri Sembilan. Negeri Sembilan mendapat nama kerana suatu ketika dahulu ianya terdiri dari 9 buah Luak utama. Istana Seri Menanti iaitu pusat pemerintahan Yamtuan Besar Negeri Sembilan terletak di tengah-tengah sembilan luak ini. 9 buah Luak tersebut adalah :-
1) Jelai
2) Sungai Hujung
3) Jelebu
4) Johol
5) Rembau
6) Naning (kini sebahagian Melaka)
7) Kelang (kini sebahagian Selangor)
8- Segamat (kini sebahagian Johor)
9) Hulu Pahang (kini sebahagian Pahang)


Peta Wilayah Adat pada zaman dahulu yang menunjukkan 9 buah Luak membentuk Negeri Sembilan
Ilustrasi yang lebih mudah difahami

Luak atau Luhak berhak menentukan pentadbirannya sendiri dan berhak menentukan sama ada ingin bersendirian atau bernaung dengan negeri-negeri yang mempunyai Sultan. Luak-luak ini berubah mengikut sejarah sebelum ia menjadi tetap selepas merdeka.
Setelah masa berlalu, Luak Naning, Kelang, Segamat, Hulu Pahang kini bernaung di bawah kesultanan negeri lain. Kini di Negeri Sembilan, wujud 13 luak yang terbahagi kepada 4 jenis iaitu Luak Berundang, Luak Tanah Mengandung, Luak Beradat dan Luak Tampin.
– LUAK BERUNDANG diketuai oleh Undang. Senarai Luak Berundang adalah :
1) Sungai Hujung
2) Jelebu
3) Johol
4) Rembau
– LUAK TANAH MENGANDUNG diketuai oleh Penghulu. Luak Tanah mengandung adalah Serambi bagi Luak Berundang. Ianya dipanggil Serambi kerana luak-luak ini terletak di antara Seri Menanti dan Luak Berundang. Senarai Luak Tanah Mengandung adalah :
5) Inas (dahulunya Jelai)
6) Terachi Serambi Sungai Hujung
7) Jempol Serambi Jelebu
8 ) Hulu Muar Serambi Johol
9) Gunung Pasir Serambi Rembau
– LUAK BERADAT diketuai oleh Penghulu Luak. Senarai Luak Beradat adalah :
10) Gemencheh
11) Ayer Kuning
12) Linggi
– LUAK TAMPIN yang diketuai oleh Tengku Besar seolah-olah berdiri dengan sendirinya walaupun bernaung di bawah Negeri Sembilan. Hanya ada satu luak sahaja iaitu :
13) Tampin


Peta Wilayah Adat kini menunjukkan 13 buah Luak setelah zaman Kemerdekaan.
Ilustrasi yang lebih mudah difahami

Ketiga-tiga Luak Beradat iaitu Gemencheh, Ayer Kuning dan Linggi bersama Luak Inas (salah sebuah Luak Tanah Mengandung) serta Luak Tampin tidak dikira untuk menentukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Penghulu-Penghulu di Luak Tanah Mengandung pula bertanggungjawab menjaga Yang Di-Pertuan Besar. Paling bertanggungjawab sekali ialah Penghulu Ulu Muar kerana sekiranya Yang di-Pertuan Besar mangkat, adalah menjadi tugas Penghulu Luak Ulu Muar untuk membawa berita itu kepada Undang Yang Empat.
Perlantikan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak Berempat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu yang akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang Di-Pertuan Besar.
Di antara empat luak yang utama ini, Undang Sungai Ujong diberi tanggungjawab untuk menjadi jurubicara bagi tiga Undang yang lain. Beliaulah yang akan merasmikan perlantikan Yang di-Pertuan Besar yang baharu. 4 Undang ini dipilih kerana Luak mereka sahajalah yang kekal sejak awal penubuhan Negeri Sembilan dahulu.


Bendera Kerajaan Pagar Ruyung Darul Qarar (1347-1825) milik Raja-Raja Minangkabau di Sumatera Barat

Setiap Undang yang mengetuai 4 buah luak ini dilantik oleh Dato’-Dato’ Lembaga. Lembaga adalah ketua-ketua Suku. Dalam konteks masyarakat Adat Perpatih terdapat 12 suku iaitu:
1) Biduanda
2) Batu Hampar
3) Mungkal
4) Seri Lemak
5) Paya Kumboh
6) Tiga Nenek
7) Sri Melenggang
8 ) Batu Belang
9 Tanah Datar
10) Anak Acheh
11) Anak Melaka
12) Tiga Batu
Lembaga yang mengetuai suku-suku ini dilantik oleh Buapak. Manakala Buapak ini pula ialah ketua Perut. Buapak dipilih oleh Anak Buah yang menjadi anggota Perut. Perut adalah satu keluarga besar yang berasal dari moyang yang sama jika dilihat pada jurai sebelah ibu (matrilineal). Mereka ini sangat rapat dan selalunya tinggal di sesuatu perkampungan yang sama.

No comments: