Al-Quran

Tuesday, April 4, 2017

Perlantikan Undang Jelebu ke-16 Tidak Terima

Dewan Keadilan Putuskan Tidak Terima Perlantikan Undang Jelebu ke-16

Oleh SALAWATI HARIS 
(salawatiharis@gmail.com)

WISMA NEGERI, 30 MAC – Dewan Keadilan dan Undang yang bersidang pada 10 Mac lalu telah memutuskan tidak menerima sebarang perlantikan Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Jelebu ke-16 yang telah dibuat sebelum ini kerana wujudnya kesangsian, keraguan dan terdapat kecacatan dalam proses memecat dan melantik datuk-datuk lembaga.
Sehubungan itu, Dewan Keadilan memulangkan semula kepada Luak Jelebu bagi proses pemilihan calon YTM Undang Luak Jelebu ke-16 mengikut adat sehingga selesai.
Perkara ini dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dalam sidang media di Wisma Negeri, hari ini.
Katanya, Dewan Keadilan telah mengarahkan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas dilantik semula untuk memantau bagi setiap proses pemilihan supaya aturan adat di Luak Jelebu dipatuhi sepenuhnya.
“Kesemua mereka yang dilantik terdiri daripada anggota sama yang telah menjalankan siasatan terhadap Undang Johol sebelum ini,” ujarnya.
Jelasnya lagi, jawatankuasa yang diperakukan oleh kerajaan itu akan memaklumkan kepada semua yang berkenaan di Jelebu supaya memulakan proses perlantikan semula mengikut susur galur yang betul daripada awal.
Dalam hal ini, Dewan Keadilan dan Undang tidak akan mencampuri urusan perlantikan YTM Undang Luak Jelebu ke-16 tetapi akan memberi nasihat bagi maksud aturan adat dipatuhi sepenuhnya.
Terdahulu, jawatan Undang Luak Jelebu kosong selepas kemangkatan penyandangnya, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Musa Wahab, 77, pada 11 September 2014.

No comments: