Istiadat Kerjan Undang Luak Johol 5 hari 5 malam
Oleh Ifwan Tun Tuah
UNDANG Johol ke 15, Datuk Muhammad Abdullah bersama media pada malam 'Sentuhan KAsih Luak Johol' di Allson Klana Seremban. - Foto Hasriyasyah Sabudin SEREMBAN: Balai Undang Luak Johol akan menganjurkan istiadat 'Kerjan' untuk memperkenalkan secara rasmi Undang luak ke-15, Datuk Muhammad Abdullah, yang dilantik akhir tahun lalu.
Muhammad berkata, majlis adat selama lima hari bermula 23 Mac itu diatur dengan pelbagai program bagi membolehkan beliau mendekati dan meraikan rakyat di bawah jajahannya.
"Antara program yang akan diadakan adalah jamuan bersama rakyat, selain pelbagai upacara adat berkaitan dengan pertabalan saya sebagai Undang yang baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis malam sentuhan kasih Luak Johol bersama media Negeri Sembilan, di sini, malam ini.
Muhammad dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol, menggantikan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani, yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac tahun lalu kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.
Pelantikan Muhammad disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Oktober tahun lalu sebelum menghadiri Istiadat Menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bagi menyempurnakan pelantikannya pada 15 Disember lalu.
Dalam struktur pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat, iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin, mempunyai fungsi kuasa mutlak di luak atau kawasan masing-masing.
Undang Yang Empat juga bertanggungjawab melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Selanjutnya
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Secara tradisi Undang Luak Johol wajib dikerjan sekali selama memegang pesaka adat ini.
Adat Kerjan dijalankan bagi memberi tahu anak anak buah bahawa seseorang itu telah dilantik memegang pesaka.
Ada tiga cara dan kemeriahannya:-
1. Dijalankan selama tiga hari tiga malam dengan menyembelih tiga ekor kerbau.
2. Dijalankan selama lima hari lima malam dengan menyembelih lima ekor kerbau.
3. Dijalankan selama tujuh hari tujuh malam dengan menyembelih tujuh ekor kerbau.
Semua binatang sembelihan/korban dimasak dan dijamu kepada rakyat.
Perbilangan ada mengatakan,
kepala kerbau dibuat tungku,
air didih menganak sungai,
kerak nasi membusut jantan".
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
SELASA, 14 MAC 2017 @ 11:54 AM
Wacana Adat sempena Istiadat Kerjan
Oleh Siti Zulaikha Zubir Ahmad
SEREMBAN: Orang ramai berpeluang mengetahui dengan lebih mendalam mengenai Adat Perpatih yang diamalkan di Luak Johol dengan menghadiri Wacana Adat pada 25 Mac ini.
Program anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dan Balai Undang Luak Johol ini akan diadakan di Dewan Orang Ramai Renggoh, Johol, Kuala Pilah.
Kurator LMNS, Aziz Mohd Gorip, berkata program itu adalah antara pengisian utama sempena Istiadat Kerjan atau pertabalan Undang Luak Johol ke-15, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Muhammad Abdullah.
Katanya, wacana itu akan mengupas sejarah dan keunikan amalan Adat Perpatih di Luak Johol serta memupuk perasaan sayang terhadap warisan dan budaya negeri ini, terutama dalam kalangan golongan muda.
"Ini juga membolehkan kita mengumpul maklumat baharu berkaitan Adat Perpatih, selain memastikan warisan sejak berzaman ini terus diamalkan sehingga bila-bila," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Aziz berkata, dua ahli panel yang dijemput ialah pakar sejarah Negeri Sembilan, Dr Nadzan Harun, dan penyelidik bebas sejarah dan budaya Negeri Sembilan, Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari, manakala Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Negeri Sembilan, Datuk Sudin Kamari, sebagai moderator.
Katanya, beberapa agensi kerajaan turut mengadakan pameran sempena wacana itu, iaitu LMNS, Muzium Adat Jelebu, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
selanjutnya
No comments:
Post a Comment