Tradisi tangkap ikan guna tangan
Aktiviti mengoca pupuk perpaduan penduduk
JELEBU 19 Mac - Kebanyakan generasi muda termasuk yang berasal dari Negeri Sembilan tidak tahu signifikan tradisi mengoca kepada masyarakat di negeri ini.
Justeru tidak salah jika dikatakan aktiviti berkenaan kurang mendapat sambutan dari generasi muda sedangkan mengoca merupakan hari yang ditunggu-tunggu penduduk kampung satu ketika dahulu.
Bagi masyarakat di Jelebu, mengoca merupakan aktiviti yang sentiasa dinantikan kerana keseronokan menangkap ikan beramai-ramai jarang berlaku kecuali pada hari berkenaan.
Aktiviti mengoca ini biasanya dilakukan selepas musim menuai padi dan tertumpu di kawasan sungai, tali air atau kolam berhampiran.
Dahulunya, keutamaan aktiviti ini bukanlah pada hasil yang diperoleh tetapi keseronokan mencari ikan dan bermain air secara ‘berjemaah’ setelah seharian membanting tulang di sawah.
Bagi mengimbau nostalgia itu, satu keramaian diadakan di Kampung Gagu, dekat sini baru-baru ini untuk memberi gambaran sebenar kepada generasi baru terhadap aktiviti yang dilakukan ketika dahulu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Mohd. Saad Harun, 63, berkata, Pesta Menuai dan Mengoca anjuran Yayasan Budi dengan kerjasama masyarakat setempat itu bertujuan menghidupkan kembali aktiviti berkenaan.
Pesta yang diadakan itu turut disertai kira-kira 300 penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama merasai keseronokan pesta berkenaan.
“Penduduk kampung ini masih mengamalkan tradisi mengoca biarpun kita berada pada zaman serba moden dan ternyata, usaha penganjuran pesta ini mencapai matlamatnya apabila pengunjung yang turut serta dapat merasai sendiri pengalamannya,” ujar beliau.
Katanya, kesemua peserta yang mengikuti pesta ini menzahirkan perasaan teruja dan jika tidak dikembalikan usaha sebegini mungkin tradisi ini dilupakan oleh generasi muda akan datang.
“Bukan sahaja penduduk kampung yang hadir malah pengunjung dan pelajar dari universiti luar turut hadir merasai sendiri aktiviti mengoca di dalam kolam yang mempunyai pelbagai jenis ikan air tawar antaranya lampam dan jelawat,” katanya.
Mohd. Saad berkata, selain dari aktiviti mengoca turut diadakan acara mengemping padi dan memanah.
Pastinya program itu sekali gus mengembalikan nostalgia yang semakin jarang dapat dilihat dan sudah tentunya meninggalkan pengalaman yang manis buat peserta.
Seorang peserta, Sebghatullah Qazi Zada, 26, berkata, pesta itu sangat menyeronokkan dan unik.
“Ini pertama kali saya melihat pesta sebegini. Memang seronok dapat merasai sendiri aktiviti tradisional masyarakat Melayu di Kampung Gagu,” katanya yang berasal dari Afghanistan.
Dia yang merupakan pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, pengalaman seharian di kampung itu amat berharga buatnya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, masyarakat Melayu perlu menilai, meneliti serta menghayati semula cara-cara kehidupan yang diamalkan di kampung dalam konteks sebenar.
“Maka sebab itu diadakan pesta untuk mengoca ikan, membuat emping dan kenduri di kampung ini,” katanya.
Jelasnya, pesta tersebut dapat mewujudkan perasaan kekitaan dan memulihara warisan.
Artikel Penuh
Rumah Jumbang:pandangan dari sawah padi |
Tan Sri Dato' Rais Yatim mengunggu tetamu di tangga rumah Jumbang ps:Rumah Jumbang sempena rumah ini diambil dari kg Jumbang Seri Menanti |
No comments:
Post a Comment