Al-Quran

Friday, April 1, 2016

Undang Luak Johol: Dewan Keadilan Negeri Sembilan

Anggota Dewan Keadilan Dan Undang Negeri Sembilan;

DEWAN KEADILAN DAN UNDANG

Keanggotaan:

1. DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (Pengerusi)
2. YAB Menteri Besar Negeri Sembilan
3. Undang Yang Empat:
YTM Undang Sungai Ujong
YTM Undang Jelebu
YTM Undang Johol
YTM Undang Rembau
4. YTM Tunku Besar Tampin
5. YTM Tunku Besar Seri Menanti
6. YAM Dato' Syahbandar Sungai Ujong
7. Wakil Kaum Cina

                                  &&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Dewan Keadilan NS bincangkan Undang Johol esok

 | March 31, 2016

Mesyuarat peringkat tertinggi bagi Raja dan Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan akan dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz.

SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang akan mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan kedudukan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan sebagai Undang Johol.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Buapak Yang Enam, Datuk Nenggarang, Datuk Hasanuddin Ahmad kepada FMT, di sini, semalam.
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa mesyuarat peringkat tertinggi Raja dan Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan itu akan dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
“Ya, mesyuarat akan diadakan Jumaat ini bagi membincangkan kedudukan Mohd Jan. Saya dimaklumkan oleh Dewan mengenai perkara ini.
“Kedudukan Mohd Jan sudah pun dimuktamadkan di peringkat luak, di mana kami sebulat suara memecatnya atas 13 salah laku, termasuk melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya.
Difahamkan, anggota Dewan Keadilan dan Undang ketika ini ialah Tuanku Muhriz selaku pengerusi, Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau, Pemangku Undang Luak Jelebu, Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan Menteri Besar selaku ex officio.
Ahad lalu, Mohd Jan dipecat selaku Undang Luak Johol menerusi pengisytiharan Datuk Jenang, Datuk Zakaria Datuk Zakaria Mohammad, selepas kebulatan Buapak Yang Enam.
Serentak dengan itu, Timbalan Undang Johol, Datuk Baginda Tan Mas, Datuk Muhammad Abdullah dipilih sebagai Undang Luak Johol ke-15, berkuat kuasa serta merta.
Undang Luak Johol adalah ketua negeri bersama (co-ruler) bagi Negeri Sembilan yang mempunyai kuasa persetujuan berhubung penangguhan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), pelantikan Menteri Besar, hal ehwal agama Islam dan adat Melayu, kedudukan tanah adat dan rizab Melayu, pengurniaan mana-mana darjah kebesaran negeri serta kedudukan istimewa Bumiputera di negeri berkenaan.
Undang Johol juga berkuasa memilih dan memecat Yang di-Pertuan Besar mengikut adat Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Dewan Keadilan Dan Undang Negeri Sembilan Diminta Tentukan Kedudukan Undang Luak Johol


Datuk Pawang Undang Luak Johol, Mohd Shari Abdul Razak (tiga kiri) mengadakan sidang akhbar mengenai kedudukan Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani (kanan) di Balai Undang Luak Johol
KUALA PILAH, 31 Mac (Bernama) -- Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani menyerahkan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan untuk membuat keputusan mengenai kedudukannya sebagai Undang Luak Johol.

Datuk Pawang Undang Luak Johol Mohd Shari Abdul Razak berkata Undang Luak Johol akan menerima sebarang keputusan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

"Datuk Mohd Jan masih sah memegang jawatan tersebut (Undang Luak Johol) seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Beliau masih lagi sah sebagai Undang Luak Johol ke-14 kerana beliau masih di sini, malah 12 alat kebesaran Undang Luak Johol masih lagi tersimpan rapi di Balai Undang Luak Johol (kediaman rasmi Undang Luak Johol)," katanya kepada pemberita di Balai Undang Luak Johol dekat sini, hari ini.

Turut hadir Mohd Jan dan isteri Tok Puan Khuzaimah Riduan.

Mohd Jan dilucutkan jawatannya sebagai Undang Luak Johol oleh Buapak Yang Enam di Balai Undang Luak Johol pada Ahad lepas selepas didapati melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.

Kesemua 13 kesalahan itu didapati menghina pesaka dan adat Luak Johol di bawah kesalahan berat merujuk kepada buku 'Gemuk Berpupuk, Segar Bersiram' yang diterbitkan pada 1996.

Pelucutan jawatan itu dibacakan secara rasmi oleh Datuk Jenang Zakaria Mohammad di hadapan Mohd Jan.

Ekoran pelucutan jawatan itu, mengikut tradisinya, jawatan itu disandang Timbalan Undang Luak Johol Datuk Baginda Tan Mas Datuk Muhammad Abdullah.

Mohd Shari berkata sehingga kini, Mohd Jan masih lagi menerima keistimewaan sebagai Undang Luak Johol yang sah dan menerima semua kemudahan yang sepatutnya.


No comments: