Cari formula terbaik pilih Undang Luak
18 April 2016 12:09 AM
PENGISYTIHARAN Undang Luak Jelebu ke-16, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, pada 8 April lalu turut berhadapan dengan kontroversi apabila keputusan pelantikannya dipertikaikan.
BOLEHKAH amalan Adat Pepatih kekal mengikut peredaran zaman yang pantas hari ini? Pencinta dan pengamal adat di Negeri Sembilan pernah menyebut adat itu dinamis dan sentiasa berubah-ubah, ‘sekali air gadang, sekali tepian berubah’.
Namun dalam konteks mencari benih Undang Luak Jelebu ke-16 kali ini, jelas yang pemilihannya terus terpalit dengan kontroversi. Peristiwa seperti ini pernah berlaku sewaktu lantikan Undang Jelebu Ke-15, Allahyarham Datuk Musa Wahab. Pernah dibawa ke mahkamah tetapi akhirnya Dewan Keadilan dan Undang yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu, Almarhum Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman memberi kata putus untuk merestuinya.
Sebelum wujudnya institusi pusaka Undang Luak lebih 200 tahun lalu permuafakatan pemakaian adatnya lebih terserlah. Luaknya meliputi Sungai Ujong, Rembau, Johol dan Jelebu. Dasar-dasar adat dikekalkan manakala disiplin pengamal pusaka ini adalah amat tinggi. Yang tua didahulukan, yang muda
dikemudiankan. Semuanya ini diambil kira dalam semangat permuafakatan yang lebih telus dan sempurna.
Hari ini semangat permuafakatan itu semakin luntur. Cerita kehangatan adat pepatih ini lebih menjurus kepada perebutan jawatan. Bermula dari peringkat pemilihan Buapak (ketua kepada anak-anak buah) dan Dato’ Lembaga (Kabinet Undang Luak) hinggalah ke peringkat memilih Dato’ Undang Luak.
Ada yang bertanya apakah peranan dan pentingnya jawatan tertinggi sebagai Dato’ Undang Luak. Pertama kedudukannya ibarat `raja’ bagi daerah naungannya. Selain mengetuai adat, Undang Luak juga menjaga kebajikan dan merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan anak waris yang semakin berkembang. Sudah tentu jawatan Dato’ Undang kekal seumur hidup.
Dato’ Undang yang empat ini juga mempunyai kuasa mutlak melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Sejak dulu lagi, susunan melantik raja memang cantik dari bawah hingga ke atas bagaikan kedudukan piramid.
Cerita dulu-dulu jika Yang Dipertuan Besar berhasrat melawat daerah, baginda perlu mohon keizinan daripada raja daerah tersebut. Begitulah tingginya status Undang Luak yang mempunyai kuasa melantik Yang Dipertuan Besar.
Hari ini keindahan adat itu tercemar. Banyak kelemahannya. Setiap kali untuk memilih ketua adat atau Undang Luak pasti menimbulkan krisis terutama dalam usaha memilih benih yang terbaik.
Dalam kes di Jelebu ini, pilihan calonnya sudah ditapis oleh tiga Dato’ Lembaga yang memegang talian adat dan pusaka. Kumpulan ini diketuai oleh Dato’ Ombi sebelum dikemukakan nama calon-calon kepada Dato’ Menteri (pemangku Undang Luak) yang mempunyai kuasa pemutus. Di sini pun masih ada kelonggaran kerana ada kemungkinan kata putus itu terdapat unsur-unsur memihak atau pilih kasih.
Sebaik-baiknya pemilihan Undang Luak hendaklah dibuat secara pengundian. Katakanlah terdapat empat calon terakhir untuk dipilih. Tiga Dato’ Lembaga berkenaan termasuk Dato’ Menteri (pemangku Undang Luak) kemudian mengundi secara sulit. Tujuannya bagi menentukan kedudukan calon. Dua tempat terbaik akan dikekalkan. Akhirnya tiga Dato’ Lembaga itu membuat pengundian terakhir bagi memilih satu calon sahaja.
Amalan ini lebih baik dan banyak dilakukan dalam pemilihan kepimpinan badan-badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini lebih telus dan terbuka. Banyak lagi formula yang boleh dipandu tanpa menimbulkan kekecohan andainya aturan adat ini menerima perubahan zaman.
Berdasarkan rentetan pemilihan empat Undang Luak sebelum ini, kesemuanya dilanda krisis hingga memakan masa yang panjang. Krisis seperti ini kadang-kadang boleh menimbulkan fitnah, prasangka buruk, apatah lagi boleh memecahkan hubungan keluarga kerana merebut jawatan Undang Luak. Inilah yang perlu dikaji dan dinilai semula demi menjaga institusi Undang Luak sentiasa dipandang tinggi dan dihormati.
WARIS
Jelebu, Negeri Sembilan
Bagaimana formulanya, formulanya balik kepada manusia dan kemanusiaan, hati dan perasaan.
Sifat tamak dan haloba tidak dapat lari manusia yang mempunya fikiran ketamakan, ego dan hasad.
Bukankah pepatah petitih menggariskan
berjenjang naik
bertangga turun
pusaka gilir dipergilirankan
untuk orang jangan diambil
umpuk awak jangan diagih
Itulah peraturan orang tua-tua dahulu, menganjurkan ketertipan. Sebelum sampai giliran kita jangan diperebutan hak orang, kerana giliran kita akan sampai jua akhirnya.
Tidakkah Buapak Buapak adat ini faham dan ingat akan tanggungjawab mereka kepada anak buah 'perut' mereka menyemaikan kebaikan dan kejujuran. Seharusnya Buapak Buapak ini menasihati anak anak buah bahawa bukanlah giliran mereka untuk menghantar nama calon dan merebutkan jawatan undang itu.
Ibu Ibu Soko juga patut faham yang sekarang pesaka dan giliran jawatan itu bukan sampai ke Perut mereka. Inilah peranan Ibu Ibu Soko yang tau tentang adat, tidak membuat desakan dan gesaan kepada Buapak. Peranan Buapak dalam perut itu mestilah tegas tidak menurut kemahuan Ibu Soko yang kelam dan kelabu tentang sistem giliran ini. Buapak hendaklah menyatakan yang benar kerana benar akan tegak sendiri.
Sekira semua anak waris faham ruang sengketa dan perebutan jawatan undang tidak akan berlaku. Ketahuilah bahawa jawatan itu tanggungjawab, tanggungjawan itu amanah yang akan dipersoalkan bukan saja dimuka bumi ini tetapi hingga akhirat kelak.
PEMERHATI
Sekira semua anak waris faham ruang sengketa dan perebutan jawatan undang tidak akan berlaku. Ketahuilah bahawa jawatan itu tanggungjawab, tanggungjawan itu amanah yang akan dipersoalkan bukan saja dimuka bumi ini tetapi hingga akhirat kelak.
PEMERHATI
No comments:
Post a Comment