Keunikan destar Dendam Tak Sudah dan pemakaiannya
SEREMBAN 26 Nov. - Destar merupakan salah satu hiasan Melayu yang unik ciptaannya dan seringkali dikenali dengan pelbagai nama mengikut daerah seperti bulang hulu, tengkolok, setangan kepala, tanjak, sembulan dan lain-lain lagi.
Di sebalik pelbagai definisi ia tidak menyimpang daripada pengertian asal iaitu sejenis hiasan kepala.
Begitu juga destar pada mulanya dicipta untuk melindungi kepala daripada panas terik iaitu dengan melilit kepala dengan kain tetapi kini menempuh perubahan dari segi fungsi berbeza dari satu tempat ke satu tempat.
Hari ini destar menjadi satu hasil kesenian dan milik bangsa Melayu.
Di Negeri Sembilan, destar ini dikenali sebagai Dendam Tak Sudah dan mengikut cerita lisan, orang yang pertama menakuk destar Dendam Tak Sudah ialah Tuk Memperang Abdullah merupakan seorang Pegawai 99 Istana Suku Tanah Datar, Kampung Sawah Liat Seri Menanti.
Destar ini juga dibentuk atau ditakuk dengan lipatan yang mempunyai maksud tertentu.
Sebagai contoh destar yang ditakuk sebanyak tujuh tingkat (lipatan) adalah untuk golongan diraja, lima takuk adalah untuk Datuk Undang, tiga takuk bagi Datuk Lembaga dan dua takuk adalah untuk orang kebanyakan.
Sementara dari segi warna pula, kuning adalah milik raja.
Selain itu pemakaian Destar Dendam Tak Sudah ini juga ada peraturan pemakaiannya iaitu Destar Dendam Tak Sudah adalah destar rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Manakala bagi rakyat biasa dipanggil destar Solok Timba selain itu setiap destar harus mempunyai unsur-unsur seperti takuk, lambaian kasih, tunas kasih, simpul kasih dan gelembung kasih.
Kedudukan lambaian kasih bagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah di sebelah kanan kepala manakala bagi rakyat biasa adalah sebelah kiri kepala. Sementara kedudukan tunas kasih mesti selari dengan anak mata sebelah kanan.
Destar yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan semasa adat istiadat mempunyai lambang peribadi Tuanku iaitu Changgai Puteri yang diperbuat daripada emas putih dan bertakhtakan berlian.
Ketika menghadiri majlis adat istiadat di Istana Besar Seri Menanti, pemakaian destar haruslah lengkap dengan baju Melayu, bersamping dan bengkung.
Warna destar tidak boleh dipakai sedondon dengan baju Melayu dan seluar melainkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Undang dan Tunku Besar Tampin serta Putera Yang Empat.
Bentuk destar penuh dengan nilai seni dan keindahan yang masih kekal dan tetap disanjung walaupun tahun telah beredar dan zaman berubah namun destar tetap indah dan unik.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Fahami cara berpakaian seperti takuk takuk tertentu yang saya bold kan dan teks berwarna merah. Dato' Dato' adat di istana hendaklah memahami cara pemakaiannya. Destar ini bukan destar untuk majlis perkahwinan mempelai raja sehari, kecuali ada individu penerima pingat yang memakai tengkolok jenis ini.
Alahyarham ayahanda Md Isa menunjukkan cara yang betul memakai Dendam Tak Sudah |
Almarhum Tuanku Muhammad mendapat nasihat yang betul tentang pemakaian Dendam Tak Sudah |
Datuk Bentara Istana Negara mengenakan destar dengan Lambaian Ibu kearah depan (Apa maksudnya) Gambar-gambar dari pelbagai sumber internet |
Lihat posting saya terdahulu disini
No comments:
Post a Comment