Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, jawatan tersebut sepatutnya sudah diisi da­lam tempoh tiga bulan selepas kematian Undang Luak Jelebu ke-15 pada 11 September tahun lalu sela­ras dengan peruntukan adat.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Jelebu berkata, dua pihak yang mencari dan memilih calon untuk jawatan itu iaitu Dato’ Ombi dan Dato’ Menteri harus bertanggungjawab dalam hal tersebut.
“Ini satu perkara yang mendukacitakan dan saya berani menya­ta­kan bahawa sekiranya Dato’ Men­­teri dan Dato’ Ombi tidak tegas mereka sendiri akan kecundang.
“Adat mengatakan pilihlah Undang dalam tempoh tiga bulan purnama, sekarang sudah lebih tiga bulan purnama, siapa yang bertanggungjawab?
“Saya berani berkata begitu se­bab saya mengetahui, hal ini tidak boleh dibiarkan, malu bagi Luak Jelebu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sidang Sehari Adat Perpatih di Auditorium D'Sury, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS), di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas jawatan Undang Luak Jelebu yang masih kosong selepas Undang Luak Jelebu ke-15, Dato’ Mendika Menteri Akhi­rulzaman Datuk Musa Wahab me­ninggal dunia pada 11 September tahun lalu.
Di Jelebu, apabila Undang me­ninggal dunia, Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Rajo Sari akan di­umumkan sebagai pemangku bagi melaksanakan semua tugas Undang sepanjang tempoh tersebut.
Pada masa yang sama, Dato’ Ombi (umbi atau urat) akan ditugaskan men­cari benih atau calon yang layak bagi mengisi jawatan Undang.
Rais menarik perhatian, proses melantik Undang luak yang baha­ru akan menunjukkan sama ada ma­syarakat adat di Jelebu dapat menjalankan tugas itu dengan lancar atau sebaliknya.
Beliau memberi amaran bahawa proses itu akan diperhati dan diberi penilaian oleh masyarakat yang menentukan sama ada institusi adat dapat diletakkan pada kedudukan tinggi.