KUALA PILAH - Lagu kumpulan Waris "Rembau Most Wanted" yang meniti di bibir pendengar seluruh tanah air sedikit sebanyak mempopularkan kembali lagu dialek Negeri Sembilan dengan cara orang muda.

Kreativiti penulis lirik lagu itu yang turut memasukkan adat perpatih dalam lirik lagu itu, mengingatkan kembali tentang adat yang kini hanya menjadi sebutan terutama generasi muda di negeri ini.

Sedangkan, adat perpatih adalah tulang belakang tradisi masyarakat dan budaya adat di Negeri Sembilan yang diamalkan semenjak turun temurun dari lapisan generasi terdahulu, bak kata pepatah "tak lupuk dek hujan tak lekang dek panas".

Adat yang banyak memberi keistimewaan kepada kaum perempuan, terutama dalam masalah nasab dan pembahagian harta itu menyebabkan mentaliti masyarakat luar selalunya pesimis kepada adat perpatih.

Ia digambarkan secara negatif, seolah-olah kaum lelaki tidak berkuasa ke atas harta benda di bumi Negeri Sembilan.

Setelah beberapa kurun adat perpatih ini diamalkan di Negeri Sembilan, kini ia semakin dilupakan terutama generasi baru yang lahir sekitar tahun 60-an ke atas. Rata-rata anak watan Negeri Sembilan kini tidak memahami adat perpatih, inti pati dan pengajarannya secara mendalam.

Mereka tidak tahu suku, pemimpin adat masing-masing apatah lagi perjalanan adatnya. Malah kalau kahwin satu suku sudah menjadi lumrah dan tiada siapa yang boleh mencerahkan pemahaman dalam hal berkenaan.

ANAK MUDA TIDAK BERMINAT?

Anak muda tidak ditarik untuk memahami adat perpatih malah generasi lama selalu menganggap adat perpatih adalah hak mereka sahaja, hingga timbul istilah siapa dahulu makan garam, menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Madya Datuk Paduka Dr Rosli Saludin.

Ujar pengkaji sejarah Negeri Sembilan itu, pendapat dan pandangan generasi muda mengenai adat perpatih sering dipinggirkan. Malah anak muda yang mula berminat kepada adat perpatih dianggap cabaran bagi mereka yang lama hingga timbul suara-suara nakal yang menyatakan anak muda itu ingin merampas jawatan.

"Golongan cerdik pandai dalam kalangan anak muda memang sudah terpinggir kerana dibimbangi mereka ini akan banyak cakap dan sering bertanya kepada kepimpinan adat.

"Sepatutnya anak muda yang bijak tadi dan faham dalam adat perpatih perlu dibawa masuk dalam kepimpinan adat terutama untuk melontarkan pandangan supaya adat itu sentiasa relevan sepanjang zaman dan ini juga akan mengurangkan jurang yang ada," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ini kerana anak muda biasanya sering mendapat pendedahan terkini terutama dalam ilmu pengurusan, yang boleh dikongsi bersama dalam kepimpinan adat perpatih.

Apa salahnya anak muda yang ada di rantau dipanggil balik apabila perlu dan setidak-tidaknya boleh membantu kepimpinan adat dalam pengurusan anak buah, katanya.

Ujarnya sangat penting membuang ego generasi lama dan baru bagi mencari titik persamaan dan apabila sudah ada titik persamaan itu, baharulah boleh duduk semeja berbincang.

"Jangan dibiarkan anak muda dengan dunianya sahaja dan mereka harus dihampiri dan jangan salahkan mereka bila mereka tidak hormat kepada adat perpatih.

"Pendekatan lebih kreatif bagi mendekati golongan muda perlu dilakukan kerana zaman anak buah mencari kepimpinan adat sudah berlalu. Tidak menjadi kesalahan kepimpinan adat sendiri yang mencari anak buah dan cuba dekati mereka termasuk menggunakan media baru seperti blog atau melalui laman sosial facebook, dan twitter," katanya.

CELIK ADAT

Pada hari ini didapati anak muda tidak celik adat dan tidak tahu, apa itu suku, kepimpinan adatnya serta tidak mengetahui apa kebaikan dalam adat perpatih. Dalam minda mereka selalu beranggapan adat perpatih ini menyusahkan dan ada yang mengambil jalan mudah dengan meminggirkannya.

Rosli berkata keadaan ini timbul kerana mereka tidak diberi penerangan yang jelas tentang adat perpatih itu apatah lagi buku rujukan dan segala bahan tentang adat perpatih adalah sangat berkurangan.

"Penulisan yang ada, banyak yang tidak jelas dan sering mengelirukan. Akhirnya timbullah persepsi dalam adat perpatih ini. Sampai sekarang ini jika kita cari bahan adat perpatih dalam internet atau Youtube banyak yang tidak tepat. Banyak negatif dari positif. Akhirnya tidak menjawab segala permasalahan yang ada dalam adat perpatih itu," katanya.

Sepatutnya kemudahan teknologi yang ada sekarang memudahkan bagi mendekati golongan muda sebagai medium terbaik menjelaskan pemahaman adat perpatih. Ini kerana zaman secara lisan sudah berlalu dan bahan-bahan yang secara nyata yang perlu diperbanyakkan.

"Bahan-bahan perlu diperbanyakkan secara kreatif dan jangan bersifat kaku dan beku. Jika kreatif peminatnya ramai, contoh dalam bentuk kartun seperti Upin dan Ipin, dokumentari, drama televisyen, drama pentas, drama radio, lagu dan banyak lagi," katanya.

PROMOSI ADAT PERPATIH

Ujarnya lagi bagi kelansungan adat perpatih, segala aspek yang baik dalam adat perpatih ini perlu dipromosi seluasnya dan tidak hanya bersifat menjadi "jaguh kampung" sahaja.

Kehebatan adat perpatih perlu ditunjukkan ke seluruh dunia di samping anak watan perlu memperkukuhkan dari segi amalannya. Dengan berpegang teguh kepada adat perpatih dan sesuaikan dengan zaman hari ini boleh membentuk modal insan terbaik dan terhebat.

"Modal insan kita terutama anak muda perlu hebat luaran dan dalamannya. Adat perpatih ini mengajar kita hormat kepada ketua, keluarga, pemimpin, bangsa, agama, bahasa dan yang paling baiknya selalu cintakan musyawarah, muafakat, budi dan juga perpaduan.

"Semuanya ini adalah sejajar dengan dasar-dasar utama negara kita. Setidak-tidaknya amalan adat perpatih ini boleh membantu dalam pembangunan negara ke arah menjadi negara maju yang ada wajah kita dan bukannya meniru dari wajah orang lain," katanya.

Penting membawa masuk anak muda ke dalam adat perpatih dengan mendedahkan mereka secara amalan dan ilmiah bukan ikut-ikutan. Ini kerana jika mereka sudah dibekalkan dengan pemahaman adat perpatih, mereka boleh menjadi ejen yang akan memberi pemahaman kepada orang luar tentang kebaikan adat perpatih, katanya.

"Beri peluang kepada anak muda merancang dengan sebaik mungkin untuk memartabatkan semula adat perpatih ini. Ramai dalam kalangan mereka mempunyai idea yang bernas terutama untuk membawa pulangan ekonomi dalam adat perpatih ini. Jika sudah ada pulangan ekonomi yang lumayan baharulah nasib kepimpinan adat dan anak buah akan
terbela," katanya.    

KOMERSIALKAN SEBAGAI SUMBER EKONOMI

Rosli berkata golongan muda boleh menjadikan keunikan adat perpatih sebagai produk yang paling bernilai. Antaranya dengan cara mencari dana bagi membaik pulih rumah adat dan kampung yang sudah tinggal, sebagai daya tarikan pelancong dari luar.

"Perlu digiatkan secara terancang dengan ada badan yang menjaganya termasuk mengadakan perjanjian dengan tuan tanah dan rumah agar kedua-dua pihak mendapat keuntungan.

"Rumah itu boleh dijadikan Inap Desa dan Inap Kampung kerana anak muda yang punya banyak kemahiran dan kelulusan boleh meneruskan kelangsungan rumah adat dalam bentuk yang lebih kreatif lagi," katanya.

Selain itu, sudah tiba masanya kerajaan Negeri Sembilan menubuhkan Akademi Adat atau Institut Adat atau Yayasan Adat dalam bentuk yang serius dan tidak ada kepentingan peribadi di dalamnya.

Melalui akademi atau institut itu, mereka boleh mengeluarkan sijil atau diploma kepada siapa yang berkursus dan yang paling penting kepimpinan adat juga boleh menikmati kemudahan itu dengan berkursus di situ, katanya.

Tambahnya lagi sudah tiba masanya kepimpinan adat perlu mempunyai kelulusan agar tidak diperlecehkan oleh sesiapa pun.

"Kita perlu hidupkan semula idea Datuk Undang Abdullah Dahan dari Rembau yang mahukan semua kepimpinan adat ada ilmu setinggi yang boleh. Jika mereka dilantik jadi pemimpin adat perlu amanah dan jalankan tugas dengan baik.

"Jika bermasalah perlulah letak jawatan dan diganti dengan yang baharu," katanya pendidikan adat perpatih juga perlu dijadikan subjek tambahan di peringkat sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Katanya setidak-tidaknya anak muda akan faham akan pentingnya adat dan tidaklah mereka mempersoalkannya pada masa hadapan. Buku panduan asas dalam pentadbiran adat perpatih juga perlu diterbitkan sebagai rujukan asas bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga untuk kepimpinan adat itu sendiri.

"Jika tidak ada buku panduan maka ramai kepimpinan adat yang mentadbir mengikut kehendak hati atau ikut-ikutan sahaja. Akhirnya yang susah adalah anak buah. Kita perlu tahu bahawa adat itu menyenangkan anak buah dan bukannya menyusahkan," katanya. - Bernama