Al-Quran

Friday, July 24, 2015

Tradisi Hari Mantai@Bantai

Pada mulanya ianya bukanlah tradisi tetapi hanya sebagai satu cara mendapatkan  bahan untuk dimasak yang boleh disimpan lama dengan cara "menyalai" istilah orang Negeri Sembilan iaitu mengeringkannya diatas bara api.

Dengan kaedah ini daging atau ikan dapat disimpan lebih lama kerana orang dulu-dulu tidak ada bekalan elektrik dan peti sejuk jauh sekali ada dalam rumah untuk menyimpan stok makanan dengan lebih lama.

Hari Mantai @ bantai ialah sehari sebelum sesuatu perayaan itu disambut. Dahulu tidaklah secara komesal tetapi "berghantam" menyumbang sedikit sebanyak duit antara komuniti setempat membeli seekor kerbau, lembu atau kambing disembelih dan dibersihkan dikerjakan secara gotong royong. Daging, tulang atau apa saja akan dibahagi mengikut sumbangan masing-masing (berghantam) tadi.


Menyingkap asal usul Hari Mantai

Thursday, July 23, 2015

MEGALITIK 2

Ini ada kali kedua laporan yang hampir sama tentang batu Megalitik di kawasan yang sama. Mungkin kawasan ini senang diakses kerana ianya berhampiran ditepi jalan antara Kuala Pilah ke Seremban. 

Beberapa batu megalitik juga terdapat di tanah perkuburan di sekitar Seri Menanti. Umpamanya dibawah ini gambar batu megalatik ditanah perkuburan Tanah Datar hilir dan juga tengah. Diisini belum ada lagi usaha Jabatan Muzium Negeri Sembilan datang membuat kajian. Semuga satu hari nanti pegawai Jabatan akan bertambah dan peruntukan kewangan juga akan bertambah demi menyungkil bahan-bahan sejarah yang ada di sini.


Ditanah perkuburan Tanah Datar tengah

Ditanah perkuburan Tanah Datar hilir

Ditanah perkuburan Tanah Datar hilir

Lebih 50 megalitik membesar seperti pokok
WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Julai 2015



Karim di kubur lama di hadapan rumah ibunya dipercayai milik orang kenamaan.

DAERAH Kuala Pilah dipenuhi batu besar atau nama saintifiknya megalitik yang kedudukannya seperti berdiri atas tanah dan berpasangan.
Perkataan ‘megalitik’ diperoleh daripada perkataan Greek ‘mega’ yang membawa maksud besar dan ‘lithos’ iaitu batu.
Megalitik biasanya jelas  kelihatan dari arah jalan raya di  perkampungan Terachi, dan  batu berusia ratusan tahun itu  berdiri tegak di tanah perkuburan lama.
Bagi merungkai keunikan  dan misteri batuan tersebut, seorang penjaga kubur lama, Khalibah Ujang, 63, sudi berkongsi cerita.


Nisan lama semakin tinggi
Menurutnya, tapak kubur lama yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya di Kampung Ibol, Terachi, dianggap unik kerana sebahagian batu batu yang dijadikan nesan di sana semakin tinggi.
Jelasnya, zaman dahulu tiada kedai yang membuat batu nisan, dan jika ada kematian, penduduk akan mengambil batu dari anak sungai (sungai kecil) berhampiran kampung tersebut untuk dijadikan tanda atau batu nisan.
“Namun, yang pelik dan uniknya batu tersebut semakin lama semakin tinggi. Ia misteri kerana ada di antara batu yang berusia ratusan tahun ini seolah-olah mempunyai akar dan membesar seperti pokok.
“Saya masih ingat lagi ketika berusia empat tahun, batu ini tingginya hanya paras lutut orang dewasa tetapi sekarang tingginya sama paras bahu saya dan ada di  antaranya lebih tinggi daripada saya serta ketinggian manusia normal,” katanya.


Lokasi kunjungan, kajian
Khalibah berkata, sebagai penjaga tanah perkuburan, dia telah diberi amanah untuk menjaga kebersihan kawasan itu.
Menurutnya, tempat itu sering dikunjungi orang ramai sama ada individu  mahu pun kumpulan termasuk dari institusi pengajian tinggi untuk mengkaji keunikan batu berkenaan. 
“Kawasan ini telah wujud ratusan tahun lalu, dan ia tidak terlepas daripada mengalami perubahan mengikut peredaran zaman.
“Sebagai contoh, terdapat batu nisan yang telah terkeluar dari kawasan pagar dan menghampiri tepi longkang kerana hakisan tanah. Batu nisan condong itu termasuk kepunyaan ‘Tok Bongkok’,” katanya.


Lebih 50 batu megalitik wujud
Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Karim Sidek, 74, berkata, lebih 50 batu megalitik ada di  daerah ini sama ada di tepi jalan  utama Seremban-Kuala Pilah mahu pun di pedalaman sekitar Mukim Terachi.
Antaranya di Kampung Talang, Kampung Parit Tengah, Kampung Kundang Kiri, Kampung Masjid, Kampung Padang Lebar, Kampung Gedang dan terdapat beberapa  kampung lagi yang ada tapak megalitik. 
Jelasnya, selain di Terachi, dia difahamkan batu hidup ini juga terdapat di Tampin dan Rembau. 
Selain itu, dia juga pernah dimaklumkan orang tua-tua bahawa darjat seseorang dapat dilihat melalui cara dan kedudukan batu nisan ditanam di kuburnya. 
“Sebagai contoh, batu nisan yang terdapat di hadapan rumah ibu saya di Kampung Padang Lebar, Terachi ini, dipercayai milik oleh orang kenamaan atau keturunan raja.
“Ia berdasarkan keadaan batu yang ditanam dalam keadaan berpagar,” katanya yang tidak mengenali keturunan diraja itu.


Tanggungjawab muzium
Dalam pada itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Dr Shamsuddin Ahmad menjelaskan, penemuan batu megalitik di daerah ini tanda  pengembangan penempatan masyarakat terawal yang ketika itu menjadikan megalitik tempat pemujaan yang mampu mempengaruhi ekonomi masyarakat waktu itu.
Menurutnya, pada zaman itu, masyarakat hanya bergantung kepada pertanian. 
Justeru, penyembahan dan pemujaan megalitik dipercayai mampu meningkatkan kesuburan tanaman.
“Kewujudan megalitik di daerah ini masih misteri dan semua batu yang telah ditemui akan dijaga serta dipulihara kerana ia peninggalan khazanah negara.
“Ia salah satu tanggungjawab LMNS untuk melihat dan memantau perkembangan termasuk mencari lokasi baharu tapak megalitik yang masih belum dikenal pasti,” katanya.
“Khazanah ini perlu dijaga kerana penemuan batu megalitik dilihat banyak ditemui di sini selain boleh dijadikan tarikan pelancongan,” katanya.