Al-Quran

Showing posts with label luak. Show all posts
Showing posts with label luak. Show all posts

Tuesday, April 4, 2017

Perlantikan Undang Jelebu ke-16 Tidak Terima

Dewan Keadilan Putuskan Tidak Terima Perlantikan Undang Jelebu ke-16

Oleh SALAWATI HARIS 
(salawatiharis@gmail.com)

WISMA NEGERI, 30 MAC – Dewan Keadilan dan Undang yang bersidang pada 10 Mac lalu telah memutuskan tidak menerima sebarang perlantikan Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Jelebu ke-16 yang telah dibuat sebelum ini kerana wujudnya kesangsian, keraguan dan terdapat kecacatan dalam proses memecat dan melantik datuk-datuk lembaga.
Sehubungan itu, Dewan Keadilan memulangkan semula kepada Luak Jelebu bagi proses pemilihan calon YTM Undang Luak Jelebu ke-16 mengikut adat sehingga selesai.
Perkara ini dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dalam sidang media di Wisma Negeri, hari ini.
Katanya, Dewan Keadilan telah mengarahkan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas dilantik semula untuk memantau bagi setiap proses pemilihan supaya aturan adat di Luak Jelebu dipatuhi sepenuhnya.
“Kesemua mereka yang dilantik terdiri daripada anggota sama yang telah menjalankan siasatan terhadap Undang Johol sebelum ini,” ujarnya.
Jelasnya lagi, jawatankuasa yang diperakukan oleh kerajaan itu akan memaklumkan kepada semua yang berkenaan di Jelebu supaya memulakan proses perlantikan semula mengikut susur galur yang betul daripada awal.
Dalam hal ini, Dewan Keadilan dan Undang tidak akan mencampuri urusan perlantikan YTM Undang Luak Jelebu ke-16 tetapi akan memberi nasihat bagi maksud aturan adat dipatuhi sepenuhnya.
Terdahulu, jawatan Undang Luak Jelebu kosong selepas kemangkatan penyandangnya, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Musa Wahab, 77, pada 11 September 2014.

Friday, March 24, 2017

Undang Luak Johol ke-15 Ditabal

Pertabalan Undang Luak Johol ke-15 penuh adat

KUALA PILAH - Majlis istiadat Kerjan (pertabalan) Undang Luak Johol ke-15 Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah berlangsung penuh adat istiadat yang bermula hari ini sehingga 27 Mac bertempat di Johol sekali gus melengkapkan perisytiharan Undang Luak Johol ke-15.

Bermula dengan upacara adat menurunkan alat kebesaran di kediaman rasminya di Kampung Tanggai, kemudian adat istiadat diteruskan kepada Mandi Berlangir untuk bersiram di perigi Godang di Kampung Bukit Istana yang diiringi oleh datuk Jenang dan Buapak Yang Enam Luak Johol jam 9 pagi tadi.

Sejurus selesai majlis bersiram, Muhammed diarak ke Makam Gobah bagi bertujuan menaikkan daulat diiringi penduduk kampung dan datuk-datuk adat.
Adat ini sebagai simbolik membersihkan jasmani dan rohani Muhammed sebagai Undang Luak Johol yang baharu.

Kemudian, beliau dibawa ke kediaman rasminya di Kampung Tanggai sebelum diarak ke sekitar Johol menggunakan kereta kuda bagi menemui penduduk kampung.
Hadir sama memeriahkan majlis, datuk-datuk adat, ketua-ketua jabatan dan penduduk yang dianggarkan 500 orang.

Menurut Batin Mukim Luak Johol, Datuk Batin Alam Suhut, pengisian dalam pertabalan atau Kerjan adalah upacara yang dianggap kemuncak Undang Luak Johol ditabalkan sebagai pemerintah sebuah kerajaan yang berdaulat bagi jajahannya di Luak Johol.

Katanya, Gobah ialah gelaran bagi Almarhum Datuk Abu Bakar yang menjadi Undang Luak Johol yang keenam pada tahun 1820-1840
.
"Datuk Gobah dikatakan Undang yang berdaulat, memiliki ilmu kesaktian yang luar biasa sehinggakan jika ada orang yang melintas belakangnya tanpa izin orang itu akan rebah (gobah).
"Disebabkan kehebatan ilmu kesaktian datuk Gobah itu, maka adat istiadat Mandi Berlangir itu menjadi satu tradisi yang wajib diikuti dalam adat istiadat Kerjan bagi sesiapa yang menyandang pusaka Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan," katanya.

Dalam pada itu, Kerjan diakhiri dengan istiadat menjunjung kasih dan ikrar taat setia oleh datuk adat, Ibu Waris dan Ibu Soko serta pembesar lain di Luak Johol, di kediaman rasmi Datuk Undang di Kampung Tangai di sini.

Muhammed, 50, yang sebelum ini adalah Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol), dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol menggantikan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac tahun lalu kerana didakwa melakukan13 kesalahan salah laku dan adat.

Pelantikan Muhammed disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Okt tahun lalu sebelum menghadiri Istiadat Menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikannya pada 15 Disember lalu

Wednesday, April 20, 2016

Apakah Formulanya Perlantikan Undang Luak?

Cari formula terbaik pilih Undang Luak

PENGISYTIHARAN  Undang Luak Jelebu ke-16, Muhamad Azafean Muhamad
PENGISYTIHARAN Undang Luak Jelebu ke-16, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, pada 8 April lalu turut berhadapan dengan kontroversi apabila keputusan pelantikannya dipertikaikan.
BOLEHKAH amalan Adat Pepatih kekal mengikut peredaran zaman yang pantas hari ini? Pencinta dan pengamal adat di Negeri Sembilan pernah menyebut adat itu dinamis dan sentiasa berubah-ubah, ‘sekali air gadang, sekali tepian berubah’.

Namun dalam konteks mencari benih Undang Luak Jelebu ke-16 kali ini, jelas yang pemilihannya terus terpalit dengan kontroversi. Peristiwa seperti ini pernah berlaku sewaktu lantikan Undang Jelebu Ke-15, Allahyarham Datuk Musa Wahab. Pernah dibawa ke mahkamah tetapi akhirnya Dewan Keadilan dan Undang yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu, Almarhum Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman memberi kata putus untuk merestuinya.

Sebelum wujudnya institusi pusaka Undang Luak lebih 200 tahun lalu permuafakatan pemakaian adatnya lebih terserlah. Luaknya meliputi Sungai Ujong, Rembau, Johol dan Jelebu. Dasar-dasar adat dikekalkan manakala disiplin pengamal pusaka ini adalah amat tinggi. Yang tua didahulukan, yang muda 
dikemudiankan. Semuanya ini diambil kira dalam semangat permuafakatan yang lebih telus dan sempurna.

Hari ini semangat permuafakatan itu semakin luntur. Cerita kehangatan adat pepatih ini lebih menjurus kepada perebutan jawatan. Bermula dari peringkat pemilihan Buapak (ketua kepada anak-anak buah) dan Dato’ Lembaga (Kabinet Undang Luak) hinggalah ke peringkat memilih Dato’ Undang Luak.

Ada yang bertanya apakah peranan dan pentingnya jawatan tertinggi sebagai Dato’ Undang Luak. Pertama kedudukannya ibarat `raja’ bagi daerah naungannya. Selain mengetuai adat, Undang Luak juga menjaga kebajikan dan merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan anak waris yang semakin berkembang. Sudah tentu jawatan Dato’ Undang kekal seumur hidup.

Dato’ Undang yang empat ini juga mempunyai kuasa mutlak melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Sejak dulu lagi, susunan melantik raja memang cantik dari bawah hingga ke atas bagaikan kedudukan piramid.

Cerita dulu-dulu jika Yang Dipertuan Besar berhasrat melawat daerah, baginda perlu mohon keizinan daripada raja daerah tersebut. Begitulah tingginya status Undang Luak yang mempunyai kuasa melantik Yang Dipertuan Besar.

Hari ini keindahan adat itu tercemar. Banyak kelemahannya. Setiap kali untuk memilih ketua adat atau Undang Luak pasti menimbulkan krisis terutama dalam usaha memilih benih yang terbaik.

Dalam kes di Jelebu ini, pilihan calonnya sudah ditapis oleh tiga Dato’ Lembaga yang memegang talian adat dan pusaka. Kumpulan ini diketuai oleh Dato’ Ombi sebelum dikemukakan nama calon-calon kepada Dato’ Menteri (pemangku Undang Luak) yang mempunyai kuasa pemutus. Di sini pun masih ada kelonggaran kerana ada kemungkinan kata putus itu terdapat unsur-unsur memihak atau pilih kasih.

Sebaik-baiknya pemilihan Undang Luak hendaklah dibuat secara pengundian. Katakanlah terdapat empat calon terakhir untuk dipilih. Tiga Dato’ Lembaga berkenaan termasuk Dato’ Menteri (pemangku Undang Luak) kemudian mengundi secara sulit. Tujuannya bagi menentukan kedudukan calon. Dua tempat terbaik akan dikekalkan. Akhirnya tiga Dato’ Lembaga itu membuat pengundian terakhir bagi memilih satu calon sahaja.

Amalan ini lebih baik dan banyak dilakukan dalam pemilihan kepimpinan badan-badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini lebih telus dan terbuka. Banyak lagi formula yang boleh dipandu tanpa menimbulkan kekecohan andainya aturan adat ini menerima perubahan zaman.

Berdasarkan rentetan pemilihan empat Undang Luak sebelum ini, kesemuanya dilanda krisis hingga memakan masa yang panjang. Krisis seperti ini kadang-kadang boleh menimbulkan fitnah, prasangka buruk, apatah lagi boleh memecahkan hubungan keluarga kerana merebut jawatan Undang Luak. Inilah yang perlu dikaji dan dinilai semula demi menjaga institusi Undang Luak sentiasa dipandang tinggi dan dihormati.

WARIS
Jelebu, Negeri Sembilan

disini

######################################################################

Bagaimana formulanya, formulanya balik kepada manusia dan kemanusiaan, hati dan perasaan.
Sifat tamak dan haloba tidak dapat lari manusia yang mempunya fikiran ketamakan, ego dan hasad.

Bukankah pepatah petitih menggariskan 

berjenjang naik
bertangga turun
pusaka gilir dipergilirankan

untuk orang jangan diambil
umpuk awak jangan diagih

Itulah peraturan orang tua-tua dahulu, menganjurkan ketertipan. Sebelum sampai giliran kita jangan diperebutan hak orang, kerana giliran kita akan sampai jua akhirnya.

Tidakkah Buapak Buapak adat ini faham dan ingat akan tanggungjawab mereka kepada anak buah 'perut' mereka menyemaikan kebaikan dan kejujuran. Seharusnya Buapak Buapak ini menasihati anak anak buah bahawa bukanlah giliran mereka untuk menghantar nama calon dan merebutkan jawatan undang itu.

Ibu Ibu Soko juga patut faham yang sekarang pesaka dan giliran jawatan itu bukan sampai ke Perut mereka. Inilah peranan Ibu Ibu Soko yang tau tentang adat, tidak membuat desakan dan gesaan kepada Buapak. Peranan Buapak dalam perut itu mestilah tegas tidak menurut kemahuan Ibu Soko yang kelam dan kelabu tentang sistem giliran ini. Buapak hendaklah menyatakan yang benar kerana benar akan tegak sendiri.

Sekira semua anak waris faham ruang sengketa dan perebutan jawatan undang tidak akan berlaku. Ketahuilah bahawa jawatan itu tanggungjawab, tanggungjawan itu amanah yang akan dipersoalkan bukan saja dimuka bumi ini tetapi hingga akhirat kelak.

PEMERHATI














Tuesday, April 5, 2016

Tunggu Perlantikan Undang

Saya masih Undang Luak Jelebu – Tarmizi

Tarmizi Selamat
Menurutnya, terdapat usaha pihak tertentu yang mahu menying­kirkannya da­ripada jawatan tersebut dan perkembangan itu telah beliau maklumkan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
“Saya dilantik melalui watikah oleh Dato’ Ombi Pangkal Maharaja, Kadim Kidam pada 13 September 2014 dan ia sah sehingga kini,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan tentang perkembangan yang berlaku di Luak Jelebu.
Sehubungan itu beliau berharap proses pelantikan Undang Luak Jelebu yang baharu dapat dilakukan tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.
“Gangguan yang tidak sepatutnya boleh melam­batkan proses pelantikan tersebut sekali gus menjejaskan imej adat Luak Jelebu,” katanya.
Persoalan mengenai siapa yang bakal diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu yang baharu bakal terjawab sebaik sahaja senarai nama calon-calon untuk jawatan berkenaan di­serahkan kepada Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari.
Tarmizi berkata, beliau akan membuat pengisytiharan calon bagi jawatan berkenaan pada bila-bila masa selepas itu.
Beliau berharap, nama calon-calon berkenaan akan diserahkan kepadanya oleh Dato’ Ombi yang bertanggungjawab mengenal pasti individu yang layak mengisi jawatan tersebut.
“Walaupun saya tahu nama-nama calon tersebut, secara adat, Dato’ Ombi sepatutnya menye­rahkan kepada saya bagi membolehkan saya membuat keputusan siapa yang dilantik sebagai Undang Luak Jelebu yang baharu.
“Kelewatan meng­umumkan nama Undang Luak Jelebu yang baharu bukan disengajakan, tetapi ada sebab tertentu mengapa ia berlaku.
“Tetapi saya percaya, nama berkenaan akan dapat diumumkan dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Jawatan Undang Luak Jelebu kosong selepas kemangkatan penyandangnya, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Musa Wahab, 77, pada 11 September 2014.
 

                                                                                                                                                                 &&&&&&&&&&%%%%%%%&&&&&&&&&&


Kelewatan jejas 
imej Adat Perpatih

Selesai segera isu pemilihan Undang Luak Jelebu


BERAHAN UJANG (kanan) menunjukkan kenyataan akhbar mengenai isu
BERAHAN UJANG (kanan) menunjukkan kenyataan akhbar mengenai isu kekosongan jawatan Undang Luak Jelebu di Seremban, Negeri Sembilan, semalam. UTUSAN/ASWAD YAHYA
SEREMBAN 11 Mac - Isu kekosongan jawatan Undang Luak Jelebu yang masih belum diisi sejak dua tahun lalu perlu diselesaikan dengan segera.
Gesaan itu dibuat Tok Menti Penghulu, Berahan Ujang, 64, yang menyifatkan kelewatan memilih calon sesuai bagi jawatan tersebut akan menjejaskan imej Adat Perpatih yang diamalkan di negeri ini.
Beliau yang memangku tugas Datuk Maharaja Inda dan bertanggungjawab mengemukakan calon berkata, kurang daripada 10 individu dalam kalangan Waris Kemin yang berhak untuk giliran jawatan itu telah disenarai pendek.
Jelasnya, senarai calon telah di­serahkan secara rasmi kepada Talian Pusaka pada 27 Januari 2015 yang sepatutnya mencadangkannya kepada Talian Adat untuk pemilihan Undang Luak Jelebu ke-16.
“Yang menyedihkan, sehingga kini belum ada maklum balas daripada pihak terbabit sehingga menyebabkan pelantikan tersebut tertangguh.
“Saya harap Datuk Lembaga Yang Empat Talian Pusaka diketuai Datuk Ombi Pangkal Maharajalela, Kadim Kidam dan Datuk Lembaga Yang Empat Talian Adat yang diketuai Datuk Menteri Sah Mangku Alam, Tarmizi Selamat segera menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung isu tersebut di sini hari ini.
Jawatan Undang Luak Jelebu kosong selepas kemangkatan penyandangnya, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Musa Wahab,77, pada 11 September 2014.
Selain Undang Luak Jelebu, terdapat Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Tampin yang membentuk sistem beraja di negeri ini.
Mereka memiliki kuasa terma­suk dalam hal-hal membabitkan pertabalan Yang Dipertuan Besar, persetujuan melantik Menteri Besar, pembubaran Dewan Undangan Negeri, penetapan dasar kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera serta hal-ehwal agama Islam di Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Berahan mendakwa, beliau telah beberapa kali cuba mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu namun tidak mendapat jawapan yang memuaskan daripada kedua-dua individu berkenaan.
“Saya tidak pasti apa masalah­nya kerana calon-calon yang dipilih telah disaring dengan ketat.
“Banyak pihak mula bertanya kepada saya dan mempersoalkan punca kelewatan dalam mengisi jawatan tersebut,” katanya.

sumber