Potong bekalan elektrik, air
KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB, SYAIRAH ABD LAJIS
8 APRIL 2017
Petugas menurunkan papan tanda Kediaman Rasmi Undang Luak Johol, semalam. |
SEREMBAN - Kerajaan negeri terpaksa bertindak memotong bekalan elektrik dan air di Balai Undang Luak Johol di Kampung Renggoh, Kuala Pilah berikutan keengganan pihak tertentu berpindah keluar dari bangunan terbabit walaupun sudah diarahkan berbuat demikian, sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawalan keselamatan turut dilaksanakan di luar premis berkenaan bagi memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti keluar dan masuk.
“Kita berasa kesal kerana kerajaan negeri terpaksa buat sampai ke tahap begini. Tidak sepatutnya berlaku macam itu.
“Orang yang duduk di situ merupakan orang yang melanggar perintah dan juga menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Kita harap mereka faham apa yang mereka buat. Supaya nanti mereka tidak terlibat dengan Kanun Jenayah,” katanya.
Menurut beli
au, bangunan yang menjadi kediaman rasmi Undang Luak Johol itu merupakan premis kerajaan dan bukannya di bawah tanggungan adat.
“Mendiami bangunan kerajaan secara tidak sah adalah satu kesalahan. Siapa yang menghuni, kita tidak tahu. Tapi memang ada,” katanya pada sidang media di Wisma Negeri, di sini, kelmarin.
Difahamkan, kerja memotong bekalan elektrik dan air dilakukan Rabu lalu.
Media melaporkan sebelum ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan notis pindah keluar kepada bekas Undang Luak Johol, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani bagi membolehkan Undang Luak Johol ke-15, Datuk Muhammed
Abdullah menggunakan kemudahan itu.
Untuk rekod, Mohd Jan dilucutkan jawatan pada 27 Mac tahun lepas ekoran didakwa melakukan kesalahan salah laku dan adat.
Papan tanda diturunkan
Sementara itu, di KUALA PILAH, papan tanda Kediaman Rasmi Balai Undang Johol berkenaan telah diturunkan penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), semalam.
Bangunan itu dikosongkan penghuni sementara tindakan memasang rantai kunci dan mangga pintu utama turut dilakukan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, selain papan tanda diturunkan, turut diturunkan kain rentang ‘Sambutan Ulang tahun Keputeraan Ke-75 Datuk Mohd Jan Abdul Ghani' yang sebelum ini dipasang tepi pintu masuk.
Kerja-kerja penurunan papan tanda itu bagaimanapun berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Difahamkan, tindakan tersebut dibuat untuk mengelakkan kekeliruan orang ramai kerana kediaman dan balai menghadap Undang Luak Johol dipindahkan sementara di Rumah Telapak Undang Luak Johol ke-15 di Kampung Tanggai.
Sementara itu, Balai Undang Luak Johol di Kampung Renggoh itu dibatalkan status pewartaannya sebagai kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Johol.
Sepucuk notis turut ditampal di pagar bangunan itu tertera larangan pencerobohan premis kerajaan dan tindakan mengunci premis bertarikh 6 April 2017 atas arahan Pegawai Daerah Kuala Pilah.
Semalam, turut kelihatan beberapa orang dipercayai ahli keluarga Mohd Jan memasuki bangunan itu untuk mengambil barangan mereka selepas mereka diberi tempoh seminggu untuk mengosongkan kawasan terbabit.
Sepanjang tempoh itu, bangunan kerajaan itu akan dijaga anggota Ikatan Sukarelawan (Rela) yang berkawal 24 jam
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.