Makam Raja Melewar di tepi sungai
SYAIRAH ABDUL LAJIS
3 APRIL 2017
Mohd Rosli menunjukkan batu nisan kepunyaan Raja Melewar di Kampung Mertang, Seri Menanti. |
Batu nisan kepunyaan Megat Seri Rama di Bukit Jumbang, Seri Menanti |
Dr Mohd Rosli menunjukkan bekas rumah Mayang Setiawan yang dijadikan rumah hukum (mahkamah) pada masa dahulu. |
Rumah telapak Raja Hitam, iaitu Yamtuan Besar Negeri Sembilan kedua di Kampung Mertang, Seri Menanti |
KUALA PILAH - Jika dirungkai peninggalan sejarah di Seri Menanti, masih banyak yang belum diterokai, termasuk penemuan baharu dipercayai makam milik Raja Melewar.
Perlu menyusuri Sungai Kampung Mertang, kedudukan makam berkenaan terletak di tepi sungai itu turut dikatakan bersebelahan dengan orang kanannya yang terletak di dalam satu pagar.
Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Mohd Rosli Saludin berkata, makam tersebut tidak pernah diangkat untuk pengetahuan umum, berikutan sesetengah pihak beranggapan Raja Melewar dimakamkan di Rembau.
“Bagaimanapun, sebenarnya itu tidak tepat dan makam Raja Melewar yang terdapat di Rembau itu sebenarnya adalah kepunyaan orang kirinya.
“Ini kerana perlu diingat pada zaman kepahlawanan dahulu, setiap pembesar melantik orang kiri dan kanan yang mempunyai mirip wajah yang seakan serupa dengan baginda.
“Ia dilakukan sebagai langkah keselamatan, selain bertujuan mengelirukan musuh,” katanya.
Dr Mohd Rosli berkata, selain kesan peninggalan makam itu, terdapat sebuah rumah Mayang Setiawan dijadikan sebagai rumah hukum atau mahkamah, yang akan diadili pembesar ketika itu.
Menurutnya, walaupun rumahnya sudah tiada tetapi bekas tapak dan sisa kayunya masih lagi tersimpan dengan struktur rumah berkenaan mempunyai 16 tiang, dipercayai dari keturunan Aceh.
“Bersebelahannya pula terdapat sebuah rumah iaitu Telapak Raja Hitam iaitu Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang kedua. Keadaan rumah ini masih lagi utuh.
“Apa yang menariknya, rumah pemimpin dahulu sudah pasti dibina berhampiran sungai dan ini salah satu lambang pembesar dahulu.
“Kedudukan telapak ini adalah berhampiran dengan Bukit Jumbang yang mempunyai tujuh tingkat. Tingkat yang paling bawah dipanggil tingkat Batu Hamparan," katanya.
Ujar Dr Mohd Rosli, dikatakan Raja Melewar pernah berehat di kawasan ini, sebelum sampai di puncak bukit yang dinamakan Puncak Tabal, iaitu tempat anak raja yang berjaya diuji, sebelum ditabalkan menjadi raja.
Menurutnya, bersebelahan dengan Bukit Jumbang pula adalah daerah Rembau, di mana pada waktu dahulu bukit itu turut menjadi laluan dari Seri Menanti ke Rembau.
Temui makam pedagang
Dr Mohd Rosli berkata, beberapa kilometer dari makam Raja Melawar, terdapat sebuah makam lagi dipercayai kepunyaan Megat Seri Rama dan orang Negeri Sembilan menggelarnya sebagai ‘Modek Si Ramo-Ramo’.
“Ada sesetengah pendapat mengatakan tokoh ini mati selepas berlakunya peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.
“Sebenarnya, tokoh ini telah menyamar sebagai pedagang dari Hindustan dan telah tiba ke daerah ini melalui Sungai Pahang ke Penarikan, seterusnya ke Pelabuhan Pekan Lama Kuala Pilah dan mereka aktif berdagang.
“Setelah itu mereka naik hingga ke Seri Menanti dan membuat perkampungan di kaki Bukit Jumbang dan mendidik Orang Asal di situ dengan baiknya terutama dari segi adat, budaya dan juga agama. Ia telah mengakhiri hidupnya di situ dan makamnya ada di Lereng Bukit Jumbang,” katanya.
Katanya, di kiri dan kanan menghala ke Bukit Jumbang, terdapat sebuah perkampungan Orang Asli yang masih utuh kesan peninggalan sejarahnya.
“Di sini merupakan sebuah perkampungan yang telah wujud sejak ratusan tahun dahulu. Rumah tradisional Melayu Negeri Sembilan ini dibina dengan berdindingkan kulit kayu sahaja.
“Bentuk rumah ini bukan seperti Minangkabau tetapi tunjak langitnya berbentuk payung dan dayung melambangkan rumah pembesar dahulu yang sentiasa berdagang. Lambang ini ada berkaitan dengan pedagang dan jawatan Syahbandar,” katanya.
Jelas beliau, semua tinggalan sejarah ini perlu dimurnikan dan diangkat sebagai produk warisan yang bernilai tinggi di daerah ini.
“Selain itu, saya mencadangkan kepada pihak berkaitan agar memasang papan tanda dan diwartakan sebagai salah satu produk pelancongan.
"Kita mahu apa yang berharga di sini dipertontonkan kepada generasi akan datang," katanya.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
KEMASKIN
Bukan makam Raja Melewar
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 APRIL 2017
Laporan Sinar Harian, semalam
KUALA PILAH – “Makam Raja Melewar sebenarnya bukan di Seri Menanti sebaliknya berada di Kampung Astana Raja Rembau,” kata bekas Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Hishamuddin Mustafa.
Menurutnya, makam Raja Melewar di Kampung Astana Raja Rembau itu telah disahkan Persatuan Sejarah Negeri Sembilan termasuk pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan.
Katanya, makam itu kini terpelihara dan telah diiktiraf oleh Jabatan Warisan Negara, malah menjadi ikonik tapak warisan di Rembau.
“Pengesahan ini juga melalui panel penyelidikan beberapa ahli sejarah dan tokoh-tokoh adat dalam negeri ini seperti Undang Yang Empat, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang turut berkenan menziarahi makam tersebut.
“Difahamkan juga, beberapa siri pemulihan sentiasa dilaksanakan oleh pihak berkaitan demi memartabatkan makam tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung penemuan sebuah makam dipercayai makam Raja Melewar di Seri Menanti oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Perak, Profesor Madya Dr Mohd Rosli Saludin.
Hishamuddin yang telah berkhidmat selama lebih lapan tahun di Tourism Negeri Sembilan berkata, makam yang ditunjukkan Rosli itu adalah makam Tok Putih.
“Tok Putih ini adalah orang terawal yang membuka penempatan di Kampung Mertang Galau malah seorang ulama.
“Makam tersebut berada di belakang rumah ibu bapa di kampung saya dan saya dimaklumkan perkara itu oleh arwah datuk dan ayah saya,” katanya.
Sementara itu, Rosli yang dihubungi Sinar Harian berkata, beliau berfikiran positif dan menyambut baik usaha yang dilakukan pihak berkaitan dalam memartabatkan makam Raja Melewar di Kampung Astana Raja Rembau.
“Saya juga gembira apabila penemuan terbaru kubur dan sebuah rumah serta beberapa peninggalan sejarah di kampung tersebut diberi perhatian oleh semua pihak.
“Saya berharap, pihak berkaitan dapat memartabatkan juga peninggalan sejarah itu demi generasi akan datang sebelum dimamah usia. Ini kerana sangat rugi jika biarkan khazanah warisan ini tanpa dipelihara,” katanya.
Dalam laporan Sinar Harian semalam, Rosli mendakwa makam ditemui di tepi sungai Kampung Mertang adalah milik Raja Melewar.
Menurutnya, makam tersebut tidak pernah diangkat untuk pengetahuan umum, berikutan sesetengah pihak beranggapan Raja Melewar dimakamkan di Rembau.
“Bagaimanapun, sebenarnya itu tidak tepat dan makam Raja Melewar yang terdapat di Rembau sebenarnya adalah kepunyaan orang kirinya.
“Ini kerana perlu diingat pada zaman kepahlawanan dahulu, setiap pembesar melantik orang kiri dan kanan yang mempunyai mirip wajah baginda. Ia dilakukan sebagai langkah keselamatan, selain bertujuan mengelirukan musuh,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.