Friday, March 24, 2017

Undang Luak Johol ke-15 Ditabal

Pertabalan Undang Luak Johol ke-15 penuh adat

KUALA PILAH - Majlis istiadat Kerjan (pertabalan) Undang Luak Johol ke-15 Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah berlangsung penuh adat istiadat yang bermula hari ini sehingga 27 Mac bertempat di Johol sekali gus melengkapkan perisytiharan Undang Luak Johol ke-15.

Bermula dengan upacara adat menurunkan alat kebesaran di kediaman rasminya di Kampung Tanggai, kemudian adat istiadat diteruskan kepada Mandi Berlangir untuk bersiram di perigi Godang di Kampung Bukit Istana yang diiringi oleh datuk Jenang dan Buapak Yang Enam Luak Johol jam 9 pagi tadi.

Sejurus selesai majlis bersiram, Muhammed diarak ke Makam Gobah bagi bertujuan menaikkan daulat diiringi penduduk kampung dan datuk-datuk adat.
Adat ini sebagai simbolik membersihkan jasmani dan rohani Muhammed sebagai Undang Luak Johol yang baharu.

Kemudian, beliau dibawa ke kediaman rasminya di Kampung Tanggai sebelum diarak ke sekitar Johol menggunakan kereta kuda bagi menemui penduduk kampung.
Hadir sama memeriahkan majlis, datuk-datuk adat, ketua-ketua jabatan dan penduduk yang dianggarkan 500 orang.

Menurut Batin Mukim Luak Johol, Datuk Batin Alam Suhut, pengisian dalam pertabalan atau Kerjan adalah upacara yang dianggap kemuncak Undang Luak Johol ditabalkan sebagai pemerintah sebuah kerajaan yang berdaulat bagi jajahannya di Luak Johol.

Katanya, Gobah ialah gelaran bagi Almarhum Datuk Abu Bakar yang menjadi Undang Luak Johol yang keenam pada tahun 1820-1840
.
"Datuk Gobah dikatakan Undang yang berdaulat, memiliki ilmu kesaktian yang luar biasa sehinggakan jika ada orang yang melintas belakangnya tanpa izin orang itu akan rebah (gobah).
"Disebabkan kehebatan ilmu kesaktian datuk Gobah itu, maka adat istiadat Mandi Berlangir itu menjadi satu tradisi yang wajib diikuti dalam adat istiadat Kerjan bagi sesiapa yang menyandang pusaka Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan," katanya.

Dalam pada itu, Kerjan diakhiri dengan istiadat menjunjung kasih dan ikrar taat setia oleh datuk adat, Ibu Waris dan Ibu Soko serta pembesar lain di Luak Johol, di kediaman rasmi Datuk Undang di Kampung Tangai di sini.

Muhammed, 50, yang sebelum ini adalah Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol), dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol menggantikan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac tahun lalu kerana didakwa melakukan13 kesalahan salah laku dan adat.

Pelantikan Muhammed disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Okt tahun lalu sebelum menghadiri Istiadat Menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikannya pada 15 Disember lalu

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.