DYMM Tuanku Muhriz Berkenan Sempurnakan Kejadian Undang Luak Johol ke-15
muhammadasyrafazlan@gmail.com
KUALA PILAH, 15 DIS – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menerima mengadap dalam Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Johol ke-15 bersaksikan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud yang berlangsung di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.
Muhammad bin Haji Abdullah telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol Yang Ke-15 oleh Dato’ Jenang dan Buapak Yang Enam Luak Johol dalam satu Kerapatan Adat (bersaksikan Ibu Waris dan Dato’ Batin) pada 27 Mac 2016 dengan membawa gelaran Yang Teramat Mulia (YTM) Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan.
Perlantikan tersebut telah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 07 Oktober 2016.
Sebelum dilantik sebagai Undang Luak Johol, beliau memegang jawatan Baginda Tan Mas sejak 13 Julai 2007.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan bersama isteri YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Haji Mat Ali Hassan serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
KHAMIS, 15 DISEMBER 2016 @ 1:43 PM
Istiadat menghadap Undang Luak Johol
di Istana Seri Menanti
KUALA PILAH: Istana Besar Seri Menanti hari ini menyaksikan berlangsungnya Istiadat Menghadap Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah ke bawah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikan sebagai Undang Luak Johol.
Muhammad telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol yang ke-15 menggantikan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac lepas kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.
Pelantikan Muhammad sebagai Undang Luak Johol yang baharu telah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu.
|
UNDANG Luak Johol Yang Ke-15, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah ketika perarakan rombongan ke Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Johol Ke-15 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Beliau sebelum ini memegang jawatan Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol) sejak 13 Julai 2007.
Turut berkenan menyaksikan Istiadat Menghadap itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta barisan exco kerajaan negeri.
Terdahulu, pada istiadat itu, Muhammad dan isteri Tok Puan Faridah Hanom Jaafar diarak dengan diiringi kira-kira 300 anggota rombongan Undang Luak Johol ke Istana Besar Seri Menanti dengan paluan rebana.
Pada istiadat itu, Muhammad melafazkan sembah taat setia kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, diikuti titah ucapan Tuanku Muhriz dan disusuli tembakan tiga das meriam.
Sesudah titah ucapan baginda, hadirin mengaminkan bacaan doa oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Nor Azamir Alias dan disusuli dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan.
Istiadat diakhiri dengan majlis santapan tengah hari di Dewan Bankuet, Balairong Seri. Muhammad, 50, adalah anak bongsu daripada enam adik beradik lahir pada 2 Januari 1966 di Kampung Tanggai, Johol daripada keluarga suku Biduanda Waris (Perut Baruh, Johol) iaitu suku daripada nasab ibunya Allahyarhamah Ajal Katik, yang layak mewarisi pusaka nenek Sitiawan, yang mengasaskan institusi Undang Luak Johol pada tahun 1723.
Ayahanda beliau Allahyarham Abdullah Che Mat adalah pesara Jabatan Kerja Raya.
Muhammad yang dikurniakan lima orang anak hasil perkahwinannya, menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Tunku Besar Tampin dan kemudian terpilih memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sehingga tamat pengajian tingkatan enam dalam jurusan sastera pada 1979.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor pada 1986 dan menerima Diploma in Business (Insurance Business Management) pada 1990.
Beliau pernah menjadi guru sandaran mengajar Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani di tiga buah sekolah di negeri ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Abdul Manap, Johol, SMK Palong 4 dan Sekolah Menengah Teriang Hilir, Jelebu.
Muhammad kemudian meninggalkan profesion perguruan dan menjadi pegawai insurans dengan syarikat Takaful, Bank Islam Malaysia Berhad.
Tidak lama selepas itu, beliau menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan menjadi pengarah serta pengerusi kepada beberapa syarikat.
Undang Luak Johol itu juga merupakan seorang aktivis masyarakat yang aktif melakukan kerja amal termasuk menjadi pengerusi Kebajikan Dato'-Dato' Adat Johol, pengerusi Tahfiz Masjid Tanggai, naib pengerusi Persatuan Anti-Dadah Kebangsaan Negeri Sembilan, penaung Pertubuhan Rakan Pembimbing dan Motivasi Al Ghoniah (pusat tahfiz), penaung Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Suku Mungkal Johol Negeri Sembilan (Mungkajoho) dan penaung Yayasan Pembangunan Masyarakat Malaysia (YPMM).
Dalam struktur pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mempunyai fungsi kuasa secara mutlak di luak masing-masing.
Undang Yang Empat adalah bertanggungjawab melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bagi menaiki takhta menggantikan baginda Yang Dipertuan Besar yang mangkat.
Fungsi berkenaan diperjelaskan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan iaitu Undang Yang Empat (Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin) adalah pemerintah bagi Negeri Sembilan bersama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. - BERNAMA
Negeri Sembilan bersama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. - BERNAMA YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima mengadap Undang Luak Johol Yang Ke-15, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah bagi menyempurnakan pelantikan sebagai Undang Luak Johol di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋
Pembesar Memerintah Negeri Sembilan tarik
keizinan guna lambang luak Johol
|
KUALA PILAH – Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan, Dato’ Muhammed Abdullah melarang penggunaan lambang Johol pada kenderaan awam di seluruh negara.
Dato’ Muhammed Abdullah yang juga Undang Luak Johol memutuskan untuk membatalkan semua surat kebenaran kepada orang awam membenarkan penggunaan pita pelekat Balai Undang Luak Johol, jata Luak Johol dan cermin gelap.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Orang Besar Balai Undang Johol, Dato’ Zakaria Mohammad menerusi satu kenyataan media, di sini, semalam.
“Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol turut memutuskan bahawa semua individu pemegang kad pengenalan diri yang tertera tulisan Istana Undang Johol dan tulisan kerabat istana adalah terbatal penggunaannya dengan serta merta.
“Keputusan Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol itu sudah pun dimaklumkan kepada Dewan Keadilan dan Undang dan Kerajaan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Zakaria berkata, laporan polis sudah dibuat dan meminta tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil menggunakan lambang Luak Johol pada kenderaan masing-masing.
Katanya, Undang Luak Johol meminta polis untuk menahan dan mengambil tindakan ke atas orang awam yang menggunakan kad pengenalan diri kerabat dan Istana Johol.
Dato’ Muhammed Abdullah dilantik selaku Undang Luak Johol Ke-15 bagi menggantikan Undang Luak Johol Ke-14, Dato’ Mohd Jan Abdul Ghani yang dipecat pada 27 Mac lalu.
Pelantikan Undang Luak Johol yang baharu itu diterima oleh Dewan Keadilan dan Undang pada 7 Oktober lalu dan diperakui oleh Kerajaan Negeri Sembilan.
⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋⇋
Bendera merewar sebagai simbolik
SYAIRAH ABDUL LAJIS
24 DISEMBER 2016
|
Kakitangan landskap Muzium Diraja Seri Menanti sedang memasang bendera merewar di rumah telapak Undang Luak Johol di Kampung Juar, Seri Menanti. |
KUALA PILAH -Pemasangan bendera merewar sempena Majlis Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Johol ke-15 yang berlangsung pada 15 Disember lalu di Istana Besar Seri Menanti sebagai simbolik merujuk kepada majlis berkenaan.
Tiang Balai Luak Ulu Muar, Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget, 76, berkata, bendera merewar adalah sebahagian daripada alat kebesaran adat dan dipasang pada majlis adat istiadat dalam Adat Perpatih.
“Bendera merewar mempunyai tiga warna iaitu merah, hitam dan kuning di mana setiap warna itu berbeza maksudnya.
“Jika merah ialah rakyat, hitam, datuk adat manakala kuning pula untuk raja. Pastinya masyarakat di sini masih ada belum memahami setiap maksud warna bendera itu dan tertanya-tanya kenapa ia dipasang.
“Penerangan seperti ini perlu disampaikan kepada pengamal Adat Perpatih supaya mereka tahu simbolik bendera ini jika ia dipasang di mana-mana lokasi. Ia petanda majlis istiadat bakal dilaksanakan,” katanya.
Beliau yang juga juru rujuk adat Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) berkata, kerja-kerja pemasangan bendera itu dilakukan kakitangan landskap Muzium Diraja Seri Menanti.
“Pemasangan dilakukan di rumah telapak Undang Luak Johol Ke-15 di Kampung Juar, Seri Menanti. Menurut tradisi Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah perlu bermalam di rumah telapak sebelum menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, di Istana Besar Seri Menanti pada keesokan harinya.
“Pemasangan bendera merewar di sekitar kawasan rumah telapak ini adalah untuk menceriakan lagi suasana. Selain itu, ia juga dipasang di simpang jalan masuk ke rumah telapak menandakan berlangsungnya majlis yang berkaitan dengan adat istiadat.
Sewajarnya anak-anak buah perlu ambil tahu apa majlis berkenaan,” katanya.
Muhammad dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol ke-15 menggantikan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac lalu kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dalam adat.
Pelantikan beliau sebagai Undang Luak Johol yang baharu telah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu.
Beliau sebelum ini memegang jawatan Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol) sejak 13 Julai 2007.
Terdahulu, pada istiadat itu, Muhammad dan isteri, Tok Puan Faridah Hanom Jaafar diarak dengan diiringi kira-kira 300 anggota rombongan Undang Luak Johol ke Istana Besar Seri Menanti dengan paluan rebana.
linkSH