Sapa kata orang dulu dulu berperang mengunakan hanya keris dan lembing sahaja. Mereka pun dah setanding dengan pesaing pesaing atau musuh di sekeliling mereka. Meriam melayu dinamakan Lela Lantaka.
Kalau ada orang bernama Lela....hemmmm, hati hati ditakuti ubat bedilnya aktif lalu meletup...nanya...hehehhe..
Pulihara meriam usia 500 tahun
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 APRIL 2016
LUBOK CHINA – Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) telah menjalankan kajian mengenai meriam Dato’ Shahbandar Haji Mat Seth yang terletak di Kampung Nerambai, di sini, yang dianggarkan berusia lebih 500 tahun.
Sinar Harian 14 Mac lalu melaporkan empat meriam lama dipercayai milik Datuk Shahbandar pada zaman dahulu kala kini hanya terbiar begitu sahaja dan dikelilingi semak-samun.
Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti LMNS, Mohd Nazim Abd Gaman berkata, LMNS sentiasa proaktif dalam menginventorikan sebarang peralatan sebagai warisan bersejarah di negeri ini lebih-lebih lagi kewujudan meriam berkenaan.
“Oleh itu, kita telah menjalankan kajian dengan merujuk buku bertajuk Konservasi Artifak Meriam Sejarah terbitan Jabatan Muzium Malaysia. Melalui maklumat di dalam buku itu, meriam terbahagi kepada dua jenis iaitu meriam itu sendiri dan lela lantaka.
“Berdasarkan penelitian dijalankan termasuk melalui temubual bersama waris Dato’ Shahbandar iaitu Rosyatimah Shamsudin, kita mendapati meriam ini adalah jenis meriam British,” katanya kepada Sinar Harian.
Nazim berkata, meriam kolonial yang digunakan sebagai pertahanan, amaran dan komunikasi adalah peninggalan penjajah Portugis, Belanda dan British manakala meriam Melayu pula adalah lela lantaka.
Menurutnya, lela lantaka pula adalah buatan orang Melayu di mana lazimnya dimiliki oleh golongan bangsawan yang digunakan sebagai senjata peperangan, pertahanan, komunikasi, amaran, lambang kekuasaan, kekayaan dan simbol status lambang kebesaran diraja.
“Meriam ini adalah milik Dato’ Shahbandar Mat Seth iaitu seorang saudagar yang berasal dari Indonesia. Mengikut cerita waris, Dato’ Shahbandar Haji Mat Seth berkahwin dengan Nenek Raja.
“Malah, meriam berkenaan juga tidak boleh dipindahkan sembarangan," katanya.
Untuk rekod, Lubok Cina pada asalnya adalah sebuah pelabuhan sehingga ke Kampung Penajis. Berkemungkinan gelaran Dato’ Shahbandar yang diberikan kepada Haji Mat Seth adalah anugerah daripada Sultan Melaka.
Meriam itu kini terletak dalam tanah milik Allahyarham Puan Jaharah Sudin iaitu ibu kepada Rosyatimah.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Boghito ni polik sikit, meriam ko polughu?
Terkejut jumpa meriam lama
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 JULAI 2014
Ramli menunjukkan lokasi sebutir meriam lama yang ditemui semasa melakukan kerja-kerja membuka rumah usang.
KUALA PILAH – Seorang lelaki sedang melakukan kerja pembersihan sebuah rumah usang di Kampung Temeris, dekat sini, terkejut apabila menemui sebutir meriam lama, kelmarin.
Ramli Mohamad, 37, ketika ditemui semalam berkata, dia sedang memulakan kerja membuka rumah dengan mencabut tiang-tiang rumah kayu sejak awal pagi lagi.
“Selepas keletihan saya pulang ke rumah dan menyambung kerja sebelah petang. Selepas selesai mencabut tiang-tiang kayu, tinggal sebatang tiang di bahagian tengah rumah.
“Sedang membuat kerja mencabut tiang kayu tersebut, secara tiba-tiba tukul besi berlaga hingga mengeluarkan bunyi kuat.
“Saya tersentap lalu melihat sebutir meriam lama berada di atas tanah dalam keadaan elok. Saya yang terpinga-pinga dan menyangka meriam itu tidak aktif, lalu membawanya keluar ke sebuah warung berhampiran.
“Saya menunggang motosikal sejauh 500 meter ke warung tersebut. Di sana, orang ramai teruja melihat meriam tersebut dan menyatakan kemungkinan ia masih aktif lagi,” katanya.
Bertindak atas dasar keselamatan, rakan Ramli telah menghubungi anggota Polis Balai Batu 10 lalu disambungkan ke Balai Polis Dangi.
Ramli berkata, polis datang untuk mengesahkan penemuan meriam lama berkenaan dan unit pemusnah bom diarah untuk memusnahkannya.
“Mereka melihat dan meneliti meriam itu masih aktif dan ia perlu di bawa ke Balai Polis Dangi dan memberitahu meriam itu masih aktif, saya terkejut kerana sangkaan awal ia tidak aktif malah tidak berbahaya.
“Alhamdulillah, ketika membawa keluar meriam berkenaan, tiada apa-apa kejadian buruk berlaku dan sudah pasti ini adalah pengalaman pertama saya kerana menjumpai meriam ketika membersihkan rumah kampung,” katanya bekerja di kampung sahaja.
Dalam pada itu, Ramli memberitahu, kawasan tersebut dahulunya merupakan hutan tebal Kampung Temeris dan pernah menjadi lokasi pertempuran ketika zaman darurat.
“Mungkin di sini ada sejarahnya tersendiri. Saya percaya masih terdapat lagi meriam ataupun bom lama yang tertanam di sini.
“Cuma buat masa ini, ia masih belum di temui meskipun semalam (kelmarin) anggota polis telah melakukan pencarian mencari sekiranya ada terdapat lebih dari sebutir meriam di sini namun tidak berhasil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim berkata, meriam lama berukuran 30milimeter telah dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban di suatu kawasan lapang jam 11 pagi semalam.
“Meriam ini digunakan pada tahun 1940 dan ia masih aktif. Saya berharap orang ramai yang menjumpai meriam, bom atau apa sahaja, agar segera menghubungi pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
tinjau kek senia
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.