Wednesday, April 6, 2016

Budi , Adat Dan Adap

Iyo  bana  la  wa k   ang. .....

Budi tak dapek dijual beli. Duit kadang kadang boleh membeli budi. Pekerti tidak seperti kata kata yang nampak berbudi. Sebabnya dalam lurus telunjuk kelingking berkait, dalam daging tertanam jarum dan dalam lipatan kain ada gunting yang tersorok.

Budi bukan sesedap diucap dan ditutur,  lunak didengar tetapi dalam lunak ada pedang berkilat terhunus. Hamburan kata kata penuh muslihat.

Budi pekerti, budi bahasa adalah adat. Tidak beradat dan beradaplah kita bila memasuki halaman orang terus naik ke serambi dan turun kedapur lalu membuka periuk tanpa pelawaan tuan rumah.

Salam.....

Berita dibawah ini berkaitan budi dan adat.....apa adapnya?

Hukum adat perlu dipatuhi, difahami

Berperanan dalam bentuk keperibadian manusia


RAIS YATIM menunjukkan buku bertajuk ADAT - The Legacy of Minangkabau
RAIS YATIM menunjukkan buku bertajuk ADAT - The Legacy of Minangkabau kepada Mohamad Hasan sambil diperhatikan isteri beliau, Puan Sri Masnah Rais dalam majlis pelancaran buku tersebut di Seremban, semalam.
SEREMBAN 9 Nov. - Konstitusi dan hukum adat khususnya adat Perpatih di Negeri Sembilan hendaklah difahami secara betul supaya fungsi dan peranannya dalam membentuk keperibadian manusia tidak cacat terutama dalam hal budi.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, orang Melayu terutamanya perlulah berhati-hati kerana definisi mereka terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang antara­nya, sekiranya tidak diamalkan adat bermakna Perkara 160 perlembagaan itu menjadi tamparan kepada bangsa itu.
Kata beliau, Perkara 160 itu antaranya ialah mentakrifkan orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu dan bertutur menggunakan bahasa Melayu.
“Hal berkaitan adat itu amat penting untuk dipatuhi kerana hu­bungan rapat dengan budi. Jika tia­da budi dalam adat, maka adat itu tidak berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Rais bercakap demikian selepas hadir pada majlis pelancaran buku beliau, ADAT - The Legacy of Minangkabau di Audotirium D’Sury Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri, di sini hari ini.
Buku itu dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri oleh Pe­ngerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Abd. Razak Ab. Said dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan negeri, Mohd. Radzi Omar.
Kata Rais, dalam melengkapkan hukum adat itu, maka peraturan dan pemahaman mengenainya amat dituntut dalam kalangan pengamal terutama sekali individu yang berautoriti terhadap adat perpatih.
“Amat penting, pengamal adat mengetahui konstitusinya dalam pengajaran adab dalam adat itu, tetapi malangnya ada Datuk Lembaga Adat di negeri itu tidak dapat memegang prinsipnya, bagaimana tugas itu sepatutnya dijalankan.
“Misalnya seseorang yang menjadi Undang (Undang Luak di Ne­geri Sembilan), tanggungjawabnya adalah amat berat. Tetapi sekarang, apabila sudah menjadi Undang, ia nampak seolah-olah cuma hadir dalam majlis utama negeri sedangkan Undang adalah penghulu dan harus bertugas sehingga Lembaga, Buapak, anak buah, suku sakat dan seterusnya.
“Jika itu tidak dapat dilaksanakan, maka prinsip lama itu mungkin tidak difahami atau tidak menjalankan tugas berkenaan. Jika itu berte­rusan, maka institusi adat itu dengan sendirinya akan runtuh,” katanya.
Apa yang penting, kata Rais, ialah menyemarakkan semula ins­titusi adat itu dan mengekalkan adat serta amalannya dengan nilai yang indah.
“Tidak bermakna jika tidak dilakukan, konflik sudah berlaku. Yang kita bimbang, suatu hari nanti generasi kita tidak memberikan apa-apa tindakan dan perhatian terhadap pemakaian serta budaya adat itu. Kalau itu berlaku, runtuhlah budaya, budi dan adat tersebut,” katanya.
Maka, kata Rais, di negeri ini dengan pentadbiran kerajaan yang memaktubkan perkara adat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri dalam Perkara 4 iaitu adab di luak dan Perkara 16, iaitu kuasa kerajaan negeri menerusi Menteri Besar berkaitan Dewan Keadilan dan Undang, sesuatu yang amat dihargai.
“Kita amat gembira atas sokongan kerajaan negeri untuk melebarkan penerbitan buku berkaitan adat terutama melibatkan luak. Luak yang kita akan fokuskan dahulu ialah Luak Rembau, Sungai Ujong, Jelebu dan Johol,” ujarnya.
Mengenai buku ADAT - The Legacy of Minangkabau, Rais ber­ka­ta, ia ditulis dan disiapkan da­lam tempoh tiga tahun setengah melibatkan 20 bab perihal sejarah, struktur, hierarki adat, budaya dan sebagainya.
“Buku itu dalam bahasa Inggeris, yang dibuat untuk memaparkan kepada masyarakat antarabangsa, pengkaji antropologi dan sosial, untuk mereka mengenali apa itu adat Perpatih di negeri ini dan Minangkabau. Buku dalam bahasa Melayu sedang diterjemahkan pada waktu ini,” katanya.

dari sini

RMRMRMRMRMRMRMRM$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$RMRMRMRMRMRMRMRM

Legasi adat perlu diwarisi – Mohamad

Melalui penulisan, dokumentari supaya tidak pupus


SEREMBAN 11 Nov. - Legasi adat perlu diperturunkan kepada generasi dan pewarisnya melalui tulisan mahupun dokumentari agar kaedah lisan dan melihat yang banyak diguna pakai pada hari ini tidak pupus bersama tokoh dan pakarnya yang sudah tiada.
Mohamad Hasan
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hal itu perlu dilakukan segera kerana sistem adat (Adat Perpatih) yang diamalkan di negeri ini, akan terhakis jika dibiarkan tanpa khazanah (buku) untuk dijadikan bahan rujukan pada masa akan datang.
“Selama ini sistem menurunkan ilmu berkaitan adat dibuat secara lisan atau melihat dan kemudian diikuti. Kita bimbang kaedah itu akan menyebabkan sistem itu terhakis dan kurang daripada segi keberkesanan dan kepercayaan masyarakat,” katanya di sini kelmarin.
Mohamad bercakap kepada pemberita selepas melancarkan buku, ADAT - The Legacy Of Minangkabau yang ditulis oleh Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Katanya, dengan adanya buku yang ditulis oleh Rais dan lainnya kelak akan dapat menjadi panduan serta rujukan kepada pengkaji dan ilmuan, sama ada dalam mahupun luar negara.
“Buku itu ditulis dalam bahasa Inggeris pada peringkat awal ini sebagai mendorong minat pengkaji luar negara memahami susur galur dan pemakaian terhadap adat yang diamalkan di Negeri Sembilan. Buku dalam bahasa Melayu akan diterbitkan kemudian,” katanya.
Justeru kata Mohamad, untuk menyemarakkan khazanah adat itu maka penulisan buku mengenai adat itu perlu juga disahut oleh Datuk Lembaga Adat di luak-luak dalam negeri ini supaya ia dapat diterbitkan sebagai penyambung warisan dan legasi adat itu.
“Saya minta Datuk Lembaga Adat di luak masing-masing mengumpulkan bahan dan bukti secukupnya, berkaitan hal sistem adat di luak-luak, peraturan dan pemakaiannya, cara kesantunan, gambar-gambar dan sebagainya.
“Apabila sudah ada maklumat itu, seorang yang mampu menulis akan mengolah dan menjadikan bahan berkenaan dalam bentuk buku atau dokumentari sebagai terbitan,” ujarnya.
Kata Mohamad lagi, dibawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu berkaitan pentadbiran dan adat.
“Maka kedua-duanya jalan seiring supaya sistem itu dapat mengekalkan keharmonian ma­syarakat. Sistem beradat itu sudah lengkap dan yang penting ia perlu diamalkan kerana itu adalah sumber kepada budi bahasa.
“Apabila masyarakat mengikuti adat ini secara betul, maka kita akan melihatlah sebuah masyarakat yang berbudi bahasa,” ujar Mohamad.
Buku ADAT-The Legacy of Minangkabau itu mempunyai 20 bab setebal 493 muka surat itu, antara lain memberi fokus kepada sejarah, budaya dan peradaban adat itu selain dipaparkan gambar rujukan dan senario serta beberapa perpatah yang dibuat dalam lenggok simpulan bahasa, pantun, perumpanaan dan kaba (cerita rakyat) yang menarik.
Pada majlis pelancaran itu juga, sebanyak 1,000 buku yang dibeli melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) akan diedarkan ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negeri ini selain perpustakaan, untuk dijadikan bahan rujukan berkaitan adat perpatih.

dari sini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.