Al-Quran

Monday, February 15, 2016

Rumah Putih Seremban

Kisah sebalik Rumah Putih
Kisah sebalik Rumah Putih
Tugu di hadapan bangunan bagi memperingati pahlawan yang gugur.




BAGI mereka yang pertama kali melalui pusat bandar Seremban, pasti akan terpegun dengan sebuah bangunan putih yang terletak di bulatan jalan berhampiran Wisma Negeri.
Kalau di Amerika Syarikat popular dengan Rumah Putih atau White House, tidak ketinggalan di Negeri Sembilan juga ada.
Mungkin ramai tidak tahu, di bangunan putih itulah pernah menjadi pusat pentadbir ketika penjajahan British dan juga pejabat kerajaan negeri sebelum ia berpindah ke bangunan baharu di Wisma Negeri sehingga kini.
Ia juga pernah menjadi perpustakaan negeri dan hari ini, menjadi salah satu mercu tanda di bandar Seremban.

Dibina pada 1912
Mengikut sejarah, bangunan Rumah Putih yang terletak di Jalan Dato’ Hamzah itu dibina pada 1912 oleh BP Habbach of Britain.
Menggunakan batu bata sebagai bahan asas dan dilepa dengan simen sebagai kekemasan, berbentuk memanjang dan beranjung, mengambil reka bentuk bangunan British. Bagi kerangka atap, kayu digunakan. 
Atap bangunan menggunakan genting dan telah ditukar dan bangunan ini kini hak milik Kerajaan Negeri Sembilan.
Selepas pejabat kerajaan negeri berpindah ke Wisma Negeri pada 1987, bangunan itu menjadi pejabat Perbadanan Perpustakaan Awam negeri (PPANS). 
Projek mengubahsuai dimulakan pada 29 Mac 1988 dengan peruntukan kerajaan persekutuan melalui Jabatan Perpustakaan Negara dan siap pada Mei 1989, sebelum dibuka kepada orang ramai pada Ogos 1989.
Sebelum PPANS berpindah di Bangunan Wisma Umno di Jalan Dato' Sheikh Ahmad, ia sekali dibaik pulih di bawah peruntukan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Selain itu, Rumah Putih pernah menempatkan pejabat menteri besar.
Pejabat itu diduduki dari Menteri Besar Negeri Sembilan yang pertama, Tun Abdul Malek Yusof sehingga Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. dari 1982-1997 sebelum pejabat Menteri Besar berpindah ke Wisma Negeri.
“Selama 15 tahun saya di situ sebelum pejabat pentadbiran kerajaan negeri berpindah ke Wisma Negeri.
“Saya yang memutuskan supaya bangunan itu menjadi perpustakaan negeri bagi memberi kemudahan kepada orang ramai berkunjung ke perpustakaan," kata Mohd Isa.
Bagaimanapun, katanya, keadaan sudah berubah dan persekitaraan dilihat tidak sesuai menyebabkan perpustakaan negeri berpindah ke bangunan lain.

Majlis peringati pahlawan
Bagi bekas Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Dewan dan Protokol), Datuk Amran Sameon, ketika perkhidmatannya sebagai pegawai kerajaan pada zaman Tan Sri Rais Yatim sebagai Menteri Besar, di Rumah Putih itulah menjadi pejabat sebagai menteri besar pada sekitar pertengahan 80an.
“Bangunan itu juga menjadi tempat saya bekerja. Banyak kenangan saya perolehi ketika bekerja di bangunan tersebut.
“Bangunan itu memang unik dengan reka bentuk kolonialnya yang menjadi tarikan kepada pengunjung dan pelancong luar pada hari ini,” katanya.
Selain itu, katanya, apa yang paling diingati satu majlis bagi memperingati pahlawan turut diadakan di hadapan bangunan itu.
“Di hadapan bangunan itu, setiap tahun kita mengadakan Hari Memperingati Pahlawan dengan turut dihadiri Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada masa itu.
“Itu sebabnya, jika semua orang melihat ada terdapat tugu peringatan di hadapan Rumah Putih ini,” katanya.
Beliau berkata, Rumah Putih ini mempunyai nilai sejarahnya tersendiri dan perlu dipelihara sebagai bangunan warisan.
"Sudah semestinya kenangan yang diperolehi pada zaman itu boleh diceritakan kepada generasi muda pada hari ini," katanya.

Diwartakan bangunan warisan
Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Selatan, Johar Kadir berkata, bangunan berkenaan telah diwartakan sebagai Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
“Pada tahun 2006-2007 kerajaan negeri memohon peruntukan daripada Jabatan Warisan Negara untuk kerja-kerja konservasi terhadap bangunan tersebut, di mana pihak jabatan menyalurkan sejumlah peruntukan.
“Kerajaan negeri melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sebagai pegawai penguasa bagi cadangan kerja pemuliharaan bangunan perpustakaan lama negeri sebelum perpustakaan berpindah ke tempat lain,” katanya.
Kurator Bahagian Pengurusan Muzium, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip pula berkata, pihaknya telah membuat inventori terhadap bangunan tersebut.
“Tujuan inventori adalah untuk diangkat Jabatan Warisan Negara sebagai bangunan warisan untuk diiktiraf,” katanya.



No comments: