Thursday, December 24, 2015

Rumah Berangguh Undang Luak Johol


Foto yang aku rakam pada 5 Jun 2011

Rumah tempat berangguh (tinggal sementara) Undang Luak Johol untuk melepaskan lelah ketika dalam perjalanan ke Istana Seri Menanti. Perjalanan ke Seri Menanti memakan masa yang lama kerana pada zaman dahulu kenderaaan bermotor amat terhad atau hampir tidak ada.
Hari ini (22 Dis 2015) rencana tentang rumah ini keluar di Sinar Harian.

oooooo******************oooooo

Rumah berusia 125 tahun jadi kajian

WARTAWAN SINAR HARIAN



KUALA PILAH - Siapa sangka, di Kampung Cheriau, di sini, tersergam indah sebuah rumah kayu tradisional Melayu berusia 125 tahun.
Rumah itu pernah menjadi tempat persinggahan Datuk Undang Luak Johol sebelum beliau meneruskan perjalanan ke Seri Menanti.
Keseluruhan struktur binaan rumah itu menggunakan kayu cengal dibina oleh dua tukang bernama Achat dan Achin.
Rentetan itu, Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) terpanggil untuk menjalankan kajian rumah yang dimiliki Sharifah Fazilah Syed Agil, 60-an.
Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti LMNS, Mohd Nazim Abd Gaman, berkata, tujuan utama kajian itu dijalankan adalah untuk menginventorikan rumah tradisional warisan Negeri Sembilan.
“Salah satunya ialah rumah ini. Difahamkan, rumah ini diperbuat daripada kayu cengal yang diambil dari hutan dan ditarik dengan menggunakan kerbau pada zaman dahulu. Peralatan yang digunakan untuk membuat rumah ini adalah beliung, kapak dan ketam.
“Tingkap rumah dan pintu diperbuat daripada kayu malah terdapat beberapa bendul sebagai pemisah ruang yang terdapat dalam rumah ini. Dari pintu hingga ke kekisi rumah, terdapat ukiran halus dengan motif tradisional melambangkan kesenian masyarakat adat perpatih,” katanya.
Lebih menarik rumah ini, apabila terdapat tangga diperbuat daripada batu dan berbentuk seperti kapal.
Menurutnya, rumah itu juga terdapat loteng yang digunakan sebagai tempat untuk menyimpan barang lama seperti peralatan memasak. 
Loteng itu juga dilihat sama fungsi seperti loteng di Muzium Lama Diraja Seri Menanti.
“Meskipun rumah ini nampak luas tetapi ia hanya ada dua bilik dan dapur.
"Salah satu ciri istimewa rumah ini, adalah alat penunjuk arah angin. Biasanya alat ini dipasang pada bahagian bumbung rumah tetapi ia letak di bawah rumah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, rumah yang dibina pada tahun 1890 ini mempunyai ruang serambi  untuk menyambut tetamu dan tempat upacara adat istiadat.
Uniknya, ruang itu hanya boleh diduduki golongan lelaki.
“Saya difahamkan, upacara adat yang pernah dijalankan di rumah ini adalah pelantikan jawatan Datuk Andika Lembaga Suku Seri Lemak Pahang Lingkungan yang sekarang ini disandang Nor Azli Awaludin,” katanya yang turut berharap agar seni bina tradisional rumah itu dipelihara sebaiknya.
Difahamkan, sebelum ini, rumah tersebut didiami Kubun Karim iaitu moyang Sharifah Fazilah. 
Apabila moyangnya telah meninggal dunia, waris rumah ini diperturunkan kepada Zainab Raja Bakar nenek kepada Sharifah kemudian mewariskan pula kepada ibu Sharifah, iaitu Raja Azizah Raja Omar.
Salasilah keturunan Kubin Karim Suku Seri Lemak Pahang Lingkungan (Senaling) Datuk Andika Haji Nor Azli Awaludin juga dipamerkan di rumah ini.

Angkut dari sini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.