Monday, December 14, 2015

Pengarah 'The Godfather' Pertahan Islam Sebagai Agama Keamanan

Artikel ini dipetik dari TKO sebagai simpanan dan ingatan aku juga untuk dikongsikan bersama.


Francis Ford Coppola memetik ayat al-Quran dan menegaskan Islam sebagai agama keamanan ketika diminta mengulas tentang perkembangan semasa di Festival Filem Antarabangsa Marrakesh minggu lalu.


Coppola yang merupakan ketua juri bagi festival filem tersebut menjawab soalan wartawan tentang situasi semasa yang sering mengaitkan Islam dengan keganasan.

Selepas mengulas tentang sejarah keganasan berkaitan Islam yang perlu dikaji seawal Perang Dunia Pertama, Coppola mengkritik kumpulan pengganas yang memberi tafsiran songsang terhadap kitab suci mereka sendiri.

“Tetapi jika kamu tahu tentang Quran, ayat pertama di dalam Quran ialah: dengan nama Tuhan, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.”
Coppola terus menyatakan terjemahan surah Al-Fatihah sehingga ayat keempat, lancar dan tegas tanpa merujuk sebarang catatan kemudan menyambung komentarnya, “Maha pemurah dan maha mengasihani. Tuhan malah mengulang ayat ini dua kali dalam satu muka surat yang sama.”

Bicara Coppola tidak terhenti di situ. Dia menyambung dengan menyebut baki terjemahan surah tersebut hingga ke ayat terakhir dan kemudian berkata:

“Sesiapa yang tahu tentang agama ini (akan tahu bahawa agama ini) mencapai kegemilangan pada kurun ke-13, tamadun yang memberikan kita sains dan matematik. Semua orang tahu akar umbi agama ini, dua perkataan paling penting, bahawa Tuhan itu pemurah lagi mengasihani. Kita percaya pada Tuhan itu agar membebaskan kita dari segala salah faham yang menyakiti ramai orang ini. Tuhan tidak mahu sesiapa disakiti.”

Francis Ford Coppola yang dilahirkan di Detroit pada tahun 1939 merupakan pengarah tersohor Hollywood yang telah mengarahkan beberapa filem terbaik sepanjang zaman seperti trilogi The Godfather dan Apocalypse Now.
Beliau juga merupakan antara enam orang dalam sejarah anugerah Academy yang pernah memenangi Oscar bagi kategori penerbitan, arahan, dan lakon layar.

--Awani



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.