Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN pada kira-kira pukul 2.20 petang.
Beliau berkata, arwah sebelum ini pernah dirawat di Hospital Tuanku Mizan Zainal Abidin, Wangsa Maju akibat masalah kulit sebelum dimasukkan ke IJN untuk rawatan jantung.
Zulkifeli menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar buat negara kerana arwah merupakan perwira yang sangat jitu sepanjang memegang tampuk kepimpinan ATM.
"Saya berasa sedih di atas kehilangan arwah dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya di samping memohon agar arwah ditempatkan bersama para solihin yang lain.
"Saya juga berharap keluarga arwah tabah menghadapi dugaan ini," katanya kepadaBernama di Masjid Khalid al-Walid di sini, Sabtu.
Zulkifeli berkata, bukan sahaja ATM kehilangan seorang pahlawan yang banyak mencurahkan jasa kepada tentera, malah negara juga turut terkesan atas pemergian Allahyarham dalam menentukan kedaulatan dan keselamatan tanah air.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut berangkat menziarah jenazah Allahyarham di Masjid Khalid al-Walid pada pukul 4.41 petang.
Baginda turut menunaikan solat jenazah yang diadakan selepas solat asar bersama anggota warga ATM dan para jemaah lain di masjid berkenaan.
Sementara itu Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menganggap Allahyarham sebagai seorang ikon kerana merupakan antara pemimpin ATM yang membentuk ketumbukan ketenteraan negara yang mantap.
"Arwah merupakan seorang yang kuat pendirian selain mempunyai personaliti yang kukuh ketika menerajui ATM," katanya sambil menambah arwah sanggup mengenepikan segala onak dan duri sepanjang memimpin ATM bagi menentang ancaman komunis.
Allahyarham mula berkhidmat pada 19 September 1949 dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan mula menerajui ATM mulai 1 Disember 1977 hingga bersara pada 19 Januari 1981.
Mohd Sany dilahirkan pada 19 Jan 1929 di Selayang, Selangor. Beliau meninggalkan isteri Puan Sri Normah Mahmud dan lima orang anak.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja, Port Dickson, Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.