Al-Quran

Sunday, February 15, 2015

Asal usul Mukim Terachi



JIKA berkunjung ke daerah Kuala Pilah, pasti akan ditemani pemandangan cukup indah, dihiasi hijauan sawah padi, gunung ganang mendamaikan terletak di Mukim Terachi.

Mukim Terachi, dibarisi 17 kampung Tradisional bermula dari kampung Ulu Bendul sehingga bersempadanan di Simpang Seri Menanti.

Menyingkap sejarah bermulanya perkataan Terachi itu, Sinar Harian menemubual orang adat di Terachi dengan membawa gelaran Lembaga Kanan Luak Terachi, Ahmad Awaludin.

Ahmad, 65, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Lebar berkata, mengikut cerita orang dahulu, bermulanya peristiwa itu selepas orang Minangkabau meneroka kampung berkenaan.

“Di sinilah orang Minangkabau mengupah Orang Asli menebang sebatang pokok yang dikenali pokok Merbau.

“Pokok itu dipercayai sangat tinggi dan besar. Di sebalik pokok itu, mereka memberitahu lokasi pokok itu di kiri jalan jika arah Kuala Pilah.

“Difahamkan,  pokok itu turut mengeluarkan air dari akarnya. Tidak hairanlah, di sisi pokok itu terdapat satu perigi dan airnya keluar dari akar pokok Merbau,” katanya.

Disebabkan pokok tersebut terlalu besar, katanya, Orang Asli perlu mengambil tempoh yang lama untuk menebang pokok berkenaan.

“Maklumlah, zaman dahulu mana ada peralatan canggih seperti sekarang. Mereka semua gunakan beliung dan kapak semata.

“Mungkin kerana terlalu ambil masa lama untuk tebang pokok itu, orang Minangkabau berasa tertipu dengan helah Orang Asli yang melambat-lambat kerja penebangan pokok. Ini kerana pembayaran sudah dilakukan tetapi kerja tidak dilakukan.

“Maka, tercetuslah perkataan ‘tak chi’ yang membawa maksud tidak ikhlas, tidak jujur. Orang Minangkabau beranggapan mereka telah ditipu oleh Orang Asli,” katanya.

Selepas itu, katanya, dalam tempoh tersebut, Orang Asli berjaya jua menebang pokok itu dan akhirnya mewujudkan perkataan ‘ter’ chi.

"Sejak dari peristiwa itulah, tempat ini digelar Terachi," katanya.


Sejarah sebalik surau

Menurut Ahmad, kedudukan pokok Merbau itu berada di sebuah surau dua tingkat di kampung Padang Lebar, Terachi. Bagaimanapun perigi yang diceritakan oleh orang dahulu sudah tiada akibat dimamah usia.

“Surau itu turut diberikan nama Surau Perigi Merbau di Padang Lebar, Terachi. Bagi menterjemahkan nama Padang Lebar, ia bermula dari kawasan rata dan sangat luas. Oleh itulah, mereka menggelarkan Padang Lebar dan melekat sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, usia surau tersebut melebih 100 tahun kerana dipercayai dibina abad ke-18.

“Surau ini masih aktif dengan pelbagai pengisian keagamaan dan mampu menempatkan 200 jemaah dalam satu-satu masa.

“Memandangkan ia dua tingkat, bahagian atas ditempatkan untuk kita bersolat, manakala tingkat bawah untuk solat jenazah,” katanya.

Sementara itu, Ahmad turut menyingkap tentang kewujudan salah satu khazanah peninggalan bersejarah iaitu batu megalitik yang mempengaruhi serta merujuk kepada perkembangan tradisi dan budaya masyarakat pada suatu ketika dulu.

“Batu megalitik turut tertanam di belakang surau ini. Perkataan ‘megalitik’ yang berasal dari perkataan Greek ‘mega’ yang membawa maksud besar dan ‘lithos’ iaitu batu, boleh didefinasikan sebagai batu besar yang didirikan di atas tanah secara bersendiri dan berpasangan.

“Lebih dari 10 buah batu megalitik tertanam di sini dan ia dilihat seperti hidup. Batu ini dibawah jagaan Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Sehingga kini, tiada siapa tahu bagaimana kewujudan batu megalitik di sini.

“Difahamkan, batu ini hanya berada di sekitar Mukim Terachi,” katanya.

angkut dari senia





No comments: