ARKIB : 14/09/2014
Pusaka adat: Patah tumbuh hilang berganti
BERITA pulangnya ke Rahmatullah Undang Luak Jelebu Ke-15, Datuk Menteri Akhirulzaman Hj. Musa Wahab, 77, beberapa hari lalu hanya menerima sedikit liputan dalam media tempatan. Sebagai salah seorang pemerintah adat di negeri beradat, perihal itu dilihat kurang setimpal dengan kedudukannya sebagai pemegang tampuk adat di wilayahnya khasnya dan di Negeri Sembilan amnya. Sementelahan pula seseorang Undang itu ditakrif sebagai 'pemerintah bersama' dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di sisi Perlembagaan negeri itu.
Allahyarham Musa yang telah menduduki kerusi Undang Luak Jelebu hampir 34 tahun, merupakan Undang yang paling kanan dalam barisan Datuk-Datuk Undang yang memegang pusaka adat di Negeri Sembilan. Beliau aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan pembelajaran, sifat yang sesuai baginya sebagai seorang bekas guru besar yang aktif. Beliau merupakan salah seorang penghulu adat yang mengambil berat tentang pendidikan adat, hal ehwal budaya dan perimbangan Islam dengan subjek persekolahan yang lain. Pemergiannya barang sudah tentu membawa kesan muram bukan saja kepada penduduk luak Jelebu tetapi juga kepada warga adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Dikatakan begitu kerana seseorang Undang itu merupakan 'Pemerintah bersama' dengan Yang Dipertuan Besar atau co-Ruler di Negeri Sembilan. Setiap seorang daripada Undang Yang Empat di luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau adalah tunggak adat di luak masing-masing. Semua tugasan rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan juga mempunyai kuasa-kuasa tertentu di sisi Perlembagaan Negeri Sembilan 1959. Empat orang ketua adat itu yang diberi panggilan sekutu Undang Yang Empat berkuasa tentang hal-ehwal adat dan kesejahteraan budaya Melayu di Negeri Sembilan, di samping menentukan seseorang calon Yang Dipertuan Besar manakala jawatan Di Raja itu menjadi kosong akibat kemangkatan atau pelanggaran syarat. Undang juga merupakan pemutus mana-mana pertelingkahan adat di dalam wilayah atau luak adatnya sendiri.
Dengan kemangkatan Undang Jelebu Ke-15 itu, berulanglah mekanisme memilih ketua adat di luak Jelebu semula. Datuk Menteri Tarmizi Selamat selaku Datuk Menteri Raja Sehari kini telah diumumkan oleh Datuk Ombi bagi pihak Datuk-Datuk Lembaga Delapan sebagai pemangku Undang sehingga seorang Undang yang sesuai dapat dicalon dan diterima sebagai Undang Jelebu yang Ke-16. Perihal ini mungkin memakan masa sekiranya mekanisme pemilihan itu tidak berjalan dengan lancar. Ada ketikanya pada tahun 1967, Jelebu telah tidak berundang hampir dua tahun akibat gagalnya Datuk Menteri Raja Sehari mendapatkan benih yang sesuai.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140914/re_09/Pusaka-adat-Patah-tumbuh-hilang-berganti#ixzz3PqkYkE65
© Utusan Melayu (M) Bhd
Dalam sidang akhbar di Sidang Sehari Adat Perpatih
23 Januari 2015 2:01 AM
SEREMBAN 22 Jan. – Kegagalan melantik Undang Luak Jelebu yang baharu dianggap mendukacitakan dan memalukan institusi adat di negeri ini.
Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, jawatan tersebut sepatutnya sudah diisi dalam tempoh tiga bulan selepas kematian Undang Luak Jelebu ke-15 pada 11 September tahun lalu selaras dengan peruntukan adat.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Jelebu berkata, dua pihak yang mencari dan memilih calon untuk jawatan itu iaitu Dato’ Ombi dan Dato’ Menteri harus bertanggungjawab dalam hal tersebut.
“Ini satu perkara yang mendukacitakan dan saya berani menyatakan bahawa sekiranya Dato’ Menteri dan Dato’ Ombi tidak tegas mereka sendiri akan kecundang.
“Adat mengatakan pilihlah Undang dalam tempoh tiga bulan purnama, sekarang sudah lebih tiga bulan purnama, siapa yang bertanggungjawab?
“Saya berani berkata begitu sebab saya mengetahui, hal ini tidak boleh dibiarkan, malu bagi Luak Jelebu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sidang Sehari Adat Perpatih di Auditorium D'Sury, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS), di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas jawatan Undang Luak Jelebu yang masih kosong selepas Undang Luak Jelebu ke-15, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Musa Wahab meninggal dunia pada 11 September tahun lalu.
Di Jelebu, apabila Undang meninggal dunia, Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Rajo Sari akan diumumkan sebagai pemangku bagi melaksanakan semua tugas Undang sepanjang tempoh tersebut.
Pada masa yang sama, Dato’ Ombi (umbi atau urat) akan ditugaskan mencari benih atau calon yang layak bagi mengisi jawatan Undang.
Rais menarik perhatian, proses melantik Undang luak yang baharu akan menunjukkan sama ada masyarakat adat di Jelebu dapat menjalankan tugas itu dengan lancar atau sebaliknya.
Beliau memberi amaran bahawa proses itu akan diperhati dan diberi penilaian oleh masyarakat yang menentukan sama ada institusi adat dapat diletakkan pada kedudukan tinggi.
link di sini
No comments:
Post a Comment