Bagi saya sejak Tuanku Muhriz naik takhta menjadi YPB Negeri Sembilan tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Istana terbuka Seri Menanti. Mengunjunginya bukan saja berpeluang bertemu baginda dan keluarga tetapi dapat juga bertemu dengan kenalan dan kawan-kawan semasa bersekolah yang tidak jauh dari perkarangan istana turut juga hadir pada istana terbuka tersebut.
Masyarakat Orang Asli teruja bertemu
Tuanku Muhriz
JEMPOL 18 Ogos - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan hadir pada majlis jamuan Aidilfitri anjuran Istana Besar Seri Menanti yang diadakan di padang awam Felda Sungai Lui dekat sini hari ini.
Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.
Majlis sambutan berkenaan turut dihadiri hampir 6,000 tetamu yang terdiri daripada penduduk sekitar yang gembira dapat bertemu secara lebih dekat dengan keluarga diraja Negeri Sembilan ini.
Menurut penduduk Kampung Orang Asli Sungai Lui, Junus Tahir, 67, kehadiran Tuanku Muhriz serta keluarga baginda pada majlis sambutan Aidilfitri di padang awam itu menunjukkan rasa kasih baginda terhadap rakyat, sekali gus dapat bersama-sama beramah mesra.
''Kita berasa amat bertuah kerana dapat bertemu dengan Tuanku Muhriz dan ahli keluarga baginda.
''Baginda bersedia untuk bertemu rakyat, mengetepikan suasana di istana dan dapat bersama-sama menikmati hidangan dalam suasana paling ceria dan muhibah ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tegasnya, putera baginda juga begitu mesra dengan penduduk serta mengetepikan hal berkaitan protokol istana dan sanggup melayan rakyat dengan baik.
''Jika tahun ini kawasan Felda ini menjadi pilihan Tuanku Muhriz untuk turun mencemar duli dalam majlis Aidilfitri, kita berharap suatu masa nanti, keluarga diraja dapat pula memilih perkampungan Orang Asli sebagai tempat sambutan perayaan ini," jelasnya.
Sementara itu, Nor Hayati Abdullah, 20 berkata, dia berbangga kerana diberi peluang membuat persembahan pada majlis itu.
''Hari ini, seramai lapan belia dari Kampung Orang Asli Sungai Lui dipilih untuk membuat persembahan menyambut ketibaan rombongan diraja ini. Ini satu kebanggaan kepada kami," jelasnya.
Bagi Rina Buta, 44, dari Kampung Orang Asli Batu 17, Jelebu pula, ini merupakan kali pertama dia dapat menatap wajah Tuanku Muhriz secara dekat.
''Sebelum ini, kita hanya melihat wajahnya daripada akhbar dan poster. Tetapi hari ini, kita bersama penduduk Orang Asli lainnya dapat beramah mesra dengan keluarga diraja. Baginda sekeluarga adalah raja yang baik," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130819/ws_02/Masyarakat-Orang-Asli-teruja-bertemu-Tuanku-Muhriz#ixzz2cRahNZiU
No comments:
Post a Comment