Pagi ini aku dan dunia hiburan dikejutkan lagi dengan berita ini, yang aku petik dari mStar online
Khamis Ogos 13, 2009
Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia
Tinggal kenangan..Asri (dua dari kiri, bawah) ketika bersama anggota Rabbani yang lain pada dua hari lalu ketika majlis sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti. -foto The Star
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kurang sejam yang lalu akibat serangan jantung di Hospital Pantai, Bangsar.
Menurut rakannya, Azadan, jenazah arwah Asri akan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas ini.
Dimaklumkan, arwah meninggal dunia selepas jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor.
Arwah meninggalkan seorang balu, Halizah Shahzan, 39, dan enam orang anak.
Asri menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.
Asri juga pernah menyanyi secara duet dengan beberapa penyanyi terkenal seperti Mawi menerusi lagu 'Saksi' dan 'Mentari Merah Di Ufuk Timur' nyanyian bersama Amy Search.
Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi sekaligus memberikan kejayaan kepada Rabbani.
Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapab tahun berturut-turut.
Tidak kurang juga anugerah yang dicapai di Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti Album Nasyid Terbaik 2001 (Iqrar - 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).
Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri.
Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana… Ke Mana…' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'.
Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik, melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era yang terkini.
Juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.
Disamping itu ditampilkan dengan adunan muzik ala melayu timur dan digabungkan dengan adunan muzik timur tengah.
Dan kini Rabbani muncul pula dengan konsep yang lebih global dalam bidang muzik tanpa mengurangkan kualiti mesej yang akan disampaikan dengan menampilkan world music didalam lagu-lagu terbarunya.
Ini adalah untuk menjadikan irama nasyid ini akan terus segar dari semasa ke semasa dan terus diminati oleh semua golongan tanpa mengira had bangsa dan negara.
Bagaimanapun dalam menyampaikan irama nasyid ini mesej adalah yang paling utama sekali dengan berpersepsikan bentuk nasihat, dakwah dan panduan.
Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit pendidikan secara tidak langsung itu berjaya masuk ke ruang fikiran sambil berhibur.
Lantaran itu juga boleh mendorong sikap kita ke arah kebaikan.
Takziah dan Al Fatihah...
##Nostalgia NADAMURNI adalah album dari kumpulan HIJJAZ.
No comments:
Post a Comment