Tak tau bahaso ko apo ni, sampai tigo kali umum orang yang samo jadi undang. Pobilangan dah ado ngobakan "koroh di hulu solosaikan kek hulu,koroh di hilir solosaikan di hilir." Ini tak, koroh di hulu nak solosaikan di hilir sampai bilo pun takkan joroneh.
Lombago lapan carilah titik pertemuan jangan sesekali menderhakai muafakat, perjanjian dan sumpah nenek monyang dan orang-orang tuo dulu. Jawatan ini hanyo di dunio kalau bolom sampai giliran porut awak tak usah diperebotkan.
**********************************************************************************
Pengumuman Undang Luak Jelebu ke-16 tidak diiktiraf
Oleh Ifwan Tun Tuah
Khamis, 27 Disember 2018
SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan tidak mengiktiraf pengumuman seorang pesara guru sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Kemin di Jelebu, 20 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, Dr Razali Ab Malik, berkata dewan berkenaan menganggap pelantikan Maarof Mat Rashad, 63, sebagai tidak sah kerana tidak mengikut syarat yang sepatutnya.
“Mesyuarat dewan ini yang bersidang Oktober lalu bagi membincangkan konflik dalam majlis pengisytiharan dan pemasyhuran Undang Luak Jelebu ke-16 memutuskan untuk memulangkan semula urusan pemilihan kepada luak berkenaan.
“Dewan Keadilan dan Undang menyerahkan kepada ketua adat di Jelebu untuk memilih Undang, namun mereka perlu memulakan semula proses mencari mata benih calon penyandang pesaka Undang Luak Jelebu mengikut aturan adat di luak berkenaan.
“Bagaimanapun, semua ketua adat perlu menyelesaikan sebarang masalah di antara mereka terlebih dulu bagi membolehkan pemilihan dijalankan dengan lancar,” katanya yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri ketika dihubungi hari ini.
Pada 20 Disember lalu, Dato’ Lembaga Luak Jelebu, Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ismail Mohd Zain mengumumkan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu yang didakwa dibuat mengikut Kanun Adat Luak Jelebu, bagi menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Abdul Wahab, yang meninggal dunia pada 11 September 2014.
Ismail mendakwa pengumuman itu dibuat mengikut Kanun Adat Luak Jelebu dan dihadiri semua Dato’ Lembaga Delapan kecuali Dato’ Mengiang Merah Bangsa.
Maarof sebelum ini sudah dua kali diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 iaitu pada Jun tahun ini dan tahun lalu, namun tidak mendapat pengiktirafan Dewan Keadilan dan Undang serta kerajaan negeri.
Selain beliau, seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun juga pernah diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 pada April 2016, namun turut tidak diiktiraf.
Mengulas lanjut, Dr Razali berkata, pihaknya tidak dapat membuat jangkaan masa kemelut itu akan berakhir kerana urusan pemilihan dilakukan oleh ketua adat di luak terbabit, namun Dewan Keadilan dan Undang akan mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa.